Oleh : Syafiqah Jamaluddin
Foto : Shahrizar Azdhar
PEKAN, 24 OKTOBER 2026 : Inovasi sektor awam perlu berteraskan penyelesaian masalah sebenar, memudahkan urusan rakyat serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan, bukannya sekadar mengejar kemenangan dalam pertandingan.
YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar berkata, perkembangan teknologi yang pesat serta peningkatan keperluan rakyat menuntut penjawat awam untuk sentiasa memperbaharui pendekatan kerja bagi memastikan pentadbiran negeri kekal cekap dan responsif.
“Ukuran kejayaan bukan hanya kepada trofi atau sijil, tetapi manfaat yang dirasai oleh rakyat,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Perasmian Hari Inovasi dan Majlis Apresiasi Kumpulan Inovatif Dan Kreatif Sektor Awam (KIKSA) Peringkat Negeri Pahang Tahun 2026, di sini.

Beliau berkata, inovasi tidak seharusnya terhenti pada pertandingan atau penghasilan idea yang menarik di atas kertas, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada tindakan yang mampu menyelesaikan masalah sebenar, menjimatkan masa dan kos serta meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat.
Menurutnya, setiap jabatan dan agensi perlu menilai semula proses kerja sedia ada, khususnya prosedur yang mengambil masa terlalu lama, bertindih atau tidak lagi relevan, supaya urusan dapat dilaksanakan dengan lebih mudah dan pantas.
“Jika sesuatu proses mengambil masa yang terlalu lama, permudahkanlah. Jika terdapat pertindihan atau prosedur yang tidak perlu, hapuskanlah. Jika teknologi boleh membantu, manfaatkanlah dengan betul, selamat dan berkesan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa penggunaan teknologi bukanlah matlamat utama inovasi, sebaliknya berfungsi sebagai alat untuk meningkatkan keberkesanan proses kerja yang telah ditambah baik terlebih dahulu, selaras dengan pendekatan Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB).
Dalam pada itu, beliau mengingatkan ketua jabatan supaya memberi ruang dan sokongan kepada warga kerja untuk mengetengahkan idea penambahbaikan, termasuk kakitangan bawahan yang lebih memahami proses operasi harian.
Katanya, amalan terbaik yang terbukti berkesan di sesebuah jabatan atau daerah perlu dikongsi dan disesuaikan untuk diguna pakai oleh organisasi lain bagi mengelakkan pertindihan usaha serta memperluas manfaat inovasi kepada lebih ramai rakyat.

Hari Inovasi dan Konvensyen KIK Sektor Awam Negeri Pahang 2026 mempertandingkan pelbagai kategori anugerah, termasuk Inovasi, Penciptaan, Penambahbaikan dan KIKSA Peringkat PSUK-PDT, selain kategori Inovasi Perkhidmatan Awam, Institut Pengajian Tinggi dan Sekolah.
Turut dipertandingkan ialah Anugerah Persembahan Terbaik, Projek Harapan Terbaik dan Anugerah Khas Juri sebagai pengiktirafan terhadap kreativiti serta usaha penambahbaikan oleh kumpulan daripada pelbagai jabatan, agensi, institusi pengajian tinggi dan sekolah.
Sebanyak 12 penyertaan direkodkan bagi KIK peringkat jabatan daerah, manakala 40 kumpulan menyertai KIK Negeri Pahang dan 51 kumpulan mengambil bahagian dalam pertandingan inovasi.
Beliau berharap penganjuran tersebut menjadi pemangkin kepada pembudayaan inovasi secara berterusan dalam sektor awam negeri, sekali gus melahirkan pentadbiran yang cekap, pantas bertindak dan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat selaras dengan semangat Pahang 1st. -PAHANGMEDIA

