Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
PEKAN, 21 OKTOBER 2026 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah menzahirkan kebimbangan terhadap gejala sosial dan budaya kebencian yang semakin membimbangkan dalam kalangan generasi muda.
Paduka Baginda bertitah, gejala seperti penyalahgunaan dadah, budaya buli, perjudian digital serta pergaulan melampaui batas perlu dipandang serius, selain sikap segelintir anak muda yang mudah terpengaruh dengan budaya menghina agama dan institusi.
“Saya memandang serius gejala sosial yang semakin membimbangkan dalam kalangan generasi muda, termasuk penyalahgunaan dadah, budaya buli, perjudian digital serta pergaulan yang melampaui batas.
“Lebih mendukacitakan apabila ada segelintir anak muda yang mudah terpengaruh dengan budaya kebencian dan penghinaan terhadap agama serta institusi, seolah-olah keberanian itu diukur melalui kelantangan mencaci dan memperlekehkan orang lain.
“Saya ingin menegaskan bahawa mahasiswa seharusnya menjadi suara kebijaksanaan, bukannya gema kebencian. Beranilah menegur, tetapi beradab ketika berbicara; beranilah berbeza pandangan, tetapi jangan hilang pertimbangan,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan bercemar duli menyempurnakan pemasyhuran Dewan Tuanku Canselor (DTC) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), hari ini.
Paduka Baginda turut mengingatkan mahasiswa supaya tidak menjadikan kecerdasan buatan (AI) sebagai jalan pintas dalam pembelajaran sehingga menjejaskan keupayaan berfikir, mengkaji dan mencipta.
“Dalam soal pendidikan, saya tidak mahu budaya mengejar segulung ijazah mengatasi matlamat sebenar menuntut ilmu. Kecerdasan buatan hendaklah dimanfaatkan untuk memperkukuh pemikiran, bukannya dijadikan jalan pintas sehingga mahasiswa semakin malas berfikir, mengkaji dan mencipta.
“Jangan sampai kita melahirkan generasi yang kaya dengan sijil, tetapi miskin dengan ilmu; petah berbicara, tetapi tandus pemikiran,” titah baginda.
Dalam pada itu, Paduka Baginda menegaskan bahawa kebajikan mahasiswa perlu diberikan perhatian sewajarnya, khususnya dalam menghadapi tekanan kos sara hidup, cabaran kesihatan mental dan persaingan mendapatkan pekerjaan.
Baginda bertitah, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) bukan sahaja berperanan sebagai institusi pengembangan ilmu, malah perlu menjadi tempat yang memelihara kesejahteraan dan masa depan mahasiswa.
Paduka Baginda turut menzahirkan harapan agar UMPSA terus menjadi pemangkin kecemerlangan pendidikan dengan memastikan anak-anak daripada keluarga kurang berkemampuan, masyarakat Orang Asli serta penduduk desa dan pedalaman turut mendapat peluang melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi.
“Janganlah kemiskinan menjadi tembok yang menghalang cita-cita, atau menjadi penghalang kecemerlangan. Anak-anak di desa, pedalaman, penempatan Orang Asli serta keluarga kurang berkemampuan hendaklah diberikan peluang yang adil untuk menikmati pendidikan tinggi,” titah baginda.
Baginda turut menyeru UMPSA agar memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Negeri, pihak industri, yayasan dan alumni bagi memperluas bantuan pendidikan, penyelidikan serta pembangunan bakat tempatan.
Menurut baginda, kepakaran universiti dalam bidang teknologi, pembuatan, automotif, logistik dan pertanian moden perlu diterjemahkan kepada manfaat nyata kepada rakyat, khususnya dalam merangsang pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup masyarakat.-PAHANGMEDIA

