Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
PEKAN, 21 OKTOBER 2026 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan bercemar duli menyempurnakan pemasyhuran Dewan Tuanku Canselor (DTC) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), hari ini.
Ketibaan Paduka Baginda pada jam 11 pagi disambut Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir; wakil rasmi YAB Menteri Besar Pahang yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Ir. Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak; serta Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin.

Turut hadir, Timbalan Menteri Ekonomi yang juga Ahli Parlimen Paya Besar, YB Dato’ Sri Mohd Shahar Abdullah; Pro-Canselor UMPSA, YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abi Musa Asaari Mohamed Nor; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman; Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar; serta Naib Canselor UMPSA, Prof. Ts. Dr. Yatimah Alias.
Pemasyhuran itu menandakan satu lagi pencapaian penting dalam pembangunan prasarana UMPSA, sekali gus mencerminkan aspirasi universiti untuk terus memperkukuh kecemerlangan akademik, daya saing dan pembangunan modal insan berkualiti tinggi.
Dewan berkenaan dijangka menjadi lokasi utama pelbagai acara rasmi universiti, termasuk meraikan kejayaan 3,345 bakal graduan yang dijadualkan menerima ijazah masing-masing pada Majlis Konvokesyen UMPSA hujung bulan ini.

Dalam majlis sama, Paduka Baginda turut berkenan dilantik semula sebagai Canselor UMPSA dan menerima watikah pelantikan daripada Menteri Pendidikan Tinggi.
Paduka Baginda kemudiannya berkenan menandatangani plak pemasyhuran DTC sebelum menyaksikan pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) antara UMPSA, Wakaf Pahang dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).
Pada majlis itu, Al-Sultan Abdullah turut berkenan menerima penyerahan sumbangan berjumlah RM1 juta kepada Tabung Endowmen Tuanku Canselor.
Sumbangan tersebut terdiri daripada Maybank Islamic sebanyak RM200,000, MUIP sebanyak RM300,000 dan Lembaga Tabung Haji sebanyak RM500,000. -PAHANGMEDIA

