Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
MARAN, 21 OKTOBER 2026 : Jelajah Aspirasi Pahang 1st Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Sentul menyaksikan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail meluluskan peruntukan RM30,000 serta-merta bagi membaiki tandas Masjid Al-Muhajirin Felda Ulu Jempol, di sini.
YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy berkata, kelulusan itu dibuat selepas beliau melihat sendiri keperluan untuk menaik taraf kemudahan berkenaan ketika turun padang bertemu rakyat menerusi program tersebut.

“Itulah kelebihannya (Jelajah Aspirasi Pahang 1st) apabila kita melihat dengan sendiri (keadaan tandas) dan ianya memang wajar dibaiki.
“Saya dimaklumkan kosnya antara RM20,000 hingga RM30,000 yang diluluskan serta-merta. Dan saya harap ianya dapat disiapkan dalam masa yang terdekat,” katanya ketika ditemui selepas program berkenaan.
Beliau turut meluangkan masa menghadiri Karnival Masjid Al-Muhajirin 2026 yang berlangsung di masjid berkenaan.

Hadir sama, YB Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Haji Fadzilla Haji Salleh; Penyelaras DUN Kuala Sentul, YH. Dato’ Mukaram Shah Zainuddin serta barisan pimpinan setempat.
Dalam perkembangan berkaitan, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy berkata, pihak berkaitan turut diminta mendapatkan anggaran kos penuh bagi membaiki bumbung Masjid Al-Muhajirin Felda Ulu Jempol yang bocor ketika hujan untuk pertimbangan kelulusan.
Menyentuh pembangunan Islam di Pahang, beliau berkata, Masjid Al-Muhajirin Felda Ulu Jempol aktif menganjurkan pelbagai kegiatan yang melibatkan penyertaan kanak-kanak, golongan wanita dan golongan muda.

Sementara itu, sebanyak 44 masjid telah dibina di Pahang sepanjang tempoh lima tahun di bawah kepimpinan YAB Menteri Besar Pahang, sekali gus mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkasa pembangunan institusi masjid dan syiar Islam di negeri ini.
Dalam program jelajah berkenaan, YAB Menteri Besar Pahang turut mengunjungi Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Felda Jengka 3 bagi beramah mesra dengan penduduk setempat. -PAHANGMEDIA

