Oleh: Nur Saadah Artika
Foto: Shahrizar Azdhar
ROMPIN, 18 OKTOBER 2026 : Kira-kira 5,000 orang menghadiri Program Kenduri Rakyat Pahang1st di Padang Majlis Daerah Rompin, Bandar Tun Razak, Keratong 4, malam tadi, bagi mengeratkan silaturahim serta mendapatkan maklumat mengenai dasar Kerajaan Negeri Pahang.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, program seumpama itu memberi peluang kepada beliau untuk berinteraksi secara langsung dengan masyarakat, selain memastikan maklumat berkaitan dasar dan perkembangan negeri dapat disampaikan dengan lebih meluas.
Beliau berkata, penganjuran program berkenaan membolehkan masyarakat mendapatkan maklumat secara terus, sekali gus mengelakkan mereka daripada ketinggalan dalam mengetahui dasar dan inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

“Hari ini kita adakan Kenduri Rakyat di Rompin, Felda Keratong. Saya ucapkan terima kasih kepada pegawai-pegawai, pihak penganjur dan juga pejabat daerah atas kehadiran lebih kurang 5,000 orang.
“Melalui program ini, saya berpeluang bercakap di hadapan 5,000 orang untuk menceritakan dasar kerajaan. Jika program seperti ini tidak diadakan, mungkin ada yang terlepas maklumat mengenai negeri Pahang. Ini satu platform yang sangat baik,” katanya selepas merasmikan program berkenaan.
Menurut beliau, program itu turut memainkan peranan penting dalam mengeratkan hubungan silaturahim apabila masyarakat berpeluang berkumpul, beramah mesra dan berinteraksi secara bersemuka dalam suasana santai.

Katanya, pertemuan seumpama itu membuka ruang kepada masyarakat untuk bertanya soalan, berkongsi pandangan serta mendapatkan penjelasan secara langsung mengenai perkara berkaitan pentadbiran dan pembangunan negeri.
“Ini satu program yang sangat baik kerana dapat mengeratkan silaturahim sesama kita. Apabila ada perjumpaan seperti ini, kita boleh berinteraksi, bercakap, berbual, bertanya dan mendapatkan penjelasan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa Kerajaan Negeri akan meneruskan penganjuran program seumpama itu pada masa akan datang bagi memastikan manfaatnya terus dinikmati oleh masyarakat.
“Usaha yang baik ini akan kita teruskan untuk masa-masa yang akan datang,” katanya. – PAHANGMEDIA

