Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUALA LUMPUR, 17 OKTOBER 2026 : Perancangan pembangunan pesat serta peluang pelaburan di Pahang menarik perhatian pengunjung Selangor International Business Summit (SIBS) 2026, khususnya terhadap potensi Kuantan sebagai bandar yang lebih maju pada masa hadapan.
Menurut pengunjung, Puan Karen Lim, 75, dan suami Encik Chia Han Kuan, 76, yang mempunyai rumah dan sebahagian tanah di Kuantan, melahirkan keterujaan melihat perkembangan serta perancangan pembangunan yang bakal dilaksanakan di negeri itu setelah lebih 10 tahun berhijrah.

Mereka berdua melahirkan rasa berbangga melihat Kuantan yang dahulunya dikenali sebagai kawasan perkampungan nelayan kini berpotensi berkembang sebagai sebuah bandar yang lebih moden dan maju.
“Saya sangat gembira dan teruja melihat Kuantan berkembang. Kerana dahulu saya melihat Kuantan tidak berkembang secepat Kuala Lumpur), sangat lambat.
“Saya tidak tahu ada banyak rancangan untuk pembangunan Kuantan. Saya tidak tahu tentang lapangan terbaru, industri yang akan muncul tapi bila saya melihat rancangan pembangunan tersebut, saya sebagai orang Kuantan sangat gembira.
“Saya melawat booth dan saya melihat ada signboard Kuantan Airport. Saya kata, sign ini mungkin salah. Situ mana ada airport. Bila datang sini (booth Invest Pahang) ada plan untuk bina airport, saya rasa sangat teruja untuk Kuantan. Saya gembira melihat bandar ini membangun,” katanya.
Beliau turut menyifatkan pembangunan infrastruktur dan kemudahan pengangkutan sebagai antara faktor yang mampu meningkatkan daya tarikan Kuantan, termasuk membuka peluang kepada lebih banyak penerbangan antarabangsa pada masa hadapan.
Karen berkata, beliau mengetahui mengenai SIBS 2026 menerusi anaknya sebelum mengambil kesempatan mengunjungi program berkenaan untuk melihat perkembangan teknologi maklumat (IT) dan kecerdasan buatan (AI).
Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Dato’ Hajah Nor’Ashikin Taib, yang merupakan Pengarah Bell Enviro Sdn. Bhd. berkata, penyertaan Pahang menerusi reruai promosi pelaburan memberikan gambaran lebih jelas mengenai peluang serta potensi pembangunan ekonomi negeri itu.

Menurutnya, antara perkara yang menarik perhatiannya ialah cadangan projek berskala besar melibatkan kawasan seluas lebih 11,000 ekar yang dilihat berpotensi menyumbang kepada kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat.
“Saya melihat projek itu sangat bermanfaat untuk kemakmuran negeri Pahang, selain berpotensi menjadikan negeri ini lebih maju dan membangun untuk rakyat.
“Dengan adanya reruai ini, kita dapat memahami dengan lebih jelas bentuk pelaburan dan peluang yang tersedia di Pahang,” katanya.
Penyertaan Invest Pahang dalam SIBS 2026 yang berlangsung dari 14 hingga 17 Oktober di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) merupakan platform bagi mempromosikan potensi pelaburan negeri, termasuk kluster strategik dan projek berimpak tinggi kepada pelabur tempatan serta antarabangsa.
Inisiatif itu turut mencerminkan usaha berterusan Kerajaan Negeri Pahang untuk menarik pelaburan berkualiti, merancakkan pertumbuhan ekonomi dan membuka lebih banyak peluang pembangunan demi manfaat rakyat. -PAHANGMEDIA

