Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUALA LUMPUR, 17 OKTOBER 2026 : Usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di Pahang dicadang meneroka bidang perniagaan baharu bagi meningkatkan prestasi dan memperluas pasaran ke peringkat lebih tinggi.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam, usaha berkenaan penting memandangkan PMKS merupakan antara pemacu ekonomi negeri dan negara, selain berperanan menyediakan peluang pekerjaan serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi setempat.
“Banyak syarikat hari ini tampil dengan idea baharu. Jadi, kita perlu terus mencari peluang dalam bidang yang berpotensi untuk dikembangkan, khususnya di Pahang.

“Antara bidang yang boleh diberi perhatian ialah farmaseutikal dan pelancongan, yang mempunyai potensi untuk dipasarkan dengan lebih meluas serta menjana pendapatan dan peluang pekerjaan,” katanya.
Beliau selalu wakil rasmi YAB Menteri Besar Pahang berkata, kejayaan beberapa syarikat dari Pahang meraih pengiktirafan menerusi anugerah 50 Enterprise peringkat Malaysia dilihat dapat menjadi pemangkin semangat kepada usahawan untuk terus meningkatkan prestasi masing-masing.
Menurutnya, pengiktirafan berkenaan turut membuktikan potensi syarikat tempatan untuk terus berkembang menerusi idea baharu dan penerokaan bidang perniagaan yang mempunyai nilai ekonomi tinggi.
Katanya, sektor pelancongan khususnya wajar diberi penekanan memandangkan bidang itu berupaya menjana pendapatan yang besar, di samping membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.
“Termasuk di Negeri Pahang ni tourism, pelancongan, adalah satu perniagaan yang saya rasa cukup memberikan banyak pendapatan dan juga peluang pekerjaan. Dan ini juga boleh kita tekankan ke dalam perniagaan di Negeri Pahang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap jalinan kerjasama di antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri dapat terus diperkukuh bagi membantu usahawan mengembangkan perniagaan masing-masing.
Jelasnya, bantuan dan sokongan yang bersesuaian perlu disediakan bagi melengkapkan usahawan dengan keupayaan untuk berdikari, sebelum dibimbing melangkah lebih jauh dalam dunia perniagaan.
“Usahawan perlu berusaha untuk berdiri sendiri dan sekiranya mereka memerlukan bantuan, kerajaan boleh membantu menggerakkan perniagaan mereka supaya mampu berkembang lebih jauh pada masa hadapan,” katanya.
Beliau turut melahirkan keyakinan dengan sokongan berterusan serta penerokaan peluang baharu mampu memperkukuh ekosistem PMKS Pahang, sekali gus meningkatkan sumbangan sektor berkenaan kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Anugerah Enterprise 50 (E50) Tahun 2026 di Renaissance Kuala Lumpur Hotel & Convention Centre, yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB. Tuan Steven Sim Chee Keong. -PAHANGMEDIA

