Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Shahrizar Adzhar
PEKAN, 17 OKTOBER 2026 : Lebih 5,000 pengunjung memeriahkan Karnival Aspirasi Pahang First Daerah Pekan Tahun 2026 yang berlangsung di Dataran Pekan Bandar Diraja, di sini, malam tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib berkata, Karnival Aspirasi Pahang 1st merupakan inisiatif yang diilhamkan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail bertujuan untuk mendekatkan rakyat dengan Kerajaan Negeri serta agensi berkaitan.

“Karnival Aspirasi Pahang 1st ini telah diilhamkan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, di mana tujuannya adalah untuk merapatkan rakyat negeri Pahang dengan Kerajaan Negeri Pahang dan juga agensi-agensi yang berkaitan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan karnival berkenaan selaku wakil rasmi YAB Menteri Besar Pahang.
Majlis turut dihadiri YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Hajah Sabariah Saidan; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, YB Dato’ Mohd Sharim Md Zain serta barisan ketua jabatan dan pimpinan setempat.
YB Dato’ Mohamad Nizar juga berkata, pelbagai pengisian disediakan sepanjang karnival berkenaan bagi memastikan rakyat dapat menikmati program yang bukan sahaja menghiburkan, malah memberi manfaat kepada komuniti setempat.

“Dan di dalam karnival ini, kita ada begitu banyak pengisian, daripada ‘briskwalk’, ‘fun run’ Larian Tenun pada hari ini, yang disertai oleh beribu-ribu rakyat negeri Pahang, khususnya di Pekan, kita ada begitu banyak reruai oleh agensi-agensi, gerai dan reruai makanan dan minuman, kenduri rakyat, dan begitu banyak lagi pengisian untuk meraikan rakyat negeri Pahang di sini,” ujarnya.
Tambahnya, keupayaan Kerajaan Negeri menganjurkan karnival berkenaan di semua 11 daerah mencerminkan kedudukan kewangan negeri yang kukuh, sekali gus membolehkan manfaatnya dikembalikan kepada rakyat melalui pelbagai program dan inisiatif.
“Ini sebenarnya yang kita nak, kekuatan kewangan, berdikari, dan boleh memulangkan semula kekuatan kewangan tersebut dalam bentuk dividen dan juga penganjuran program untuk manfaat rakyat negeri Pahang,” katanya lagi.

Mengulas impak penganjuran karnival terhadap ekonomi setempat, beliau berkata, kehadiran pengunjung dalam jumlah yang besar berpotensi meningkatkan pendapatan peniaga, khususnya pengusaha makanan dan minuman serta penjual buah-buahan.
“Saya lihat ia dapat membantu ekonomi negeri setempat, khususnya untuk peniaga kecil yang boleh dapat pulangan yang tinggi disebabkan begitu ramai pengunjung yang hadir pada hari Karnival Aspirasi Pahang 1st tersebut, terutama sekali pada waktu malam,” jelasnya.
Katanya lagi, karnival itu turut membuka ruang kepada usahawan baharu untuk memperkenalkan produk serta perkhidmatan mereka kepada pasaran yang lebih luas, sekali gus membantu mengembangkan perniagaan menerusi peluang promosi secara langsung kepada pengunjung. -PAHANGMEDIA

