Oleh : Syafiqah Jamaluddin
Foto : Farizul Hafiz Awang
BERA, 15 OKTOBER 2026 : Hasil negeri perlu dikembalikan kepada rakyat menerusi pelbagai bentuk bantuan, pembangunan infrastruktur dan peluang ekonomi bagi memastikan kemakmuran Pahang dapat dirasai hingga ke peringkat akar umbi.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Hajah Sabariah Saidan berkata, Aspirasi Pahang 1st bukan sekadar slogan, sebaliknya menjadi asas kepada setiap keputusan, belanjawan dan pelaksanaan pembangunan negeri.
“Sekaya mana pun negeri Pahang, seunggul mana pun angka pendapatan negeri ini, ia tidak akan membawa makna sekiranya kemakmuran tersebut tidak dirasai secara langsung oleh rakyat di peringkat akar umbi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Pahang 1st Peringkat Negeri Daerah Bera di Dewan Kompleks Rakan Muda, di sini, hari ini.
Menurutnya, kerajaan negeri melaksanakan pendekatan mesra rakyat melalui siri jelajah dan Karnival Aspirasi Pahang 1st di setiap daerah bagi mendekatkan perkhidmatan agensi kerajaan serta mendengar permasalahan penduduk setempat.
“Kerajaan hari ini tidak mahu duduk selesa di pejabat. Kita turun ke padang, bawa perkhidmatan agensi kerajaan terus kepada rakyat dan mendengar sendiri masalah penduduk setempat untuk diselesaikan dengan segera,” katanya.

Beliau berkata, pembangunan modal insan turut menjadi keutamaan bagi memastikan anak-anak Pahang mendapat pendidikan terbaik serta peluang pekerjaan berkualiti di negeri sendiri tanpa perlu berhijrah jauh untuk mencari rezeki.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan guru sebagai tonggak penting dalam membentuk sahsiah, membina keyakinan dan mencorakkan masa depan generasi muda, selain menyampaikan ilmu kepada murid di bilik darjah.
Katanya, cabaran dunia pendidikan yang semakin kompleks menuntut komitmen serta pengorbanan berterusan warga pendidik bagi memastikan anak-anak mendapat pendidikan berkualiti.

“Apresiasi kepada guru bukan sekadar penghargaan dalam bentuk kata-kata atau hadiah, tetapi merupakan tanda bahawa masyarakat mengiktiraf besarnya peranan guru dalam membangunkan negara,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa tanggungjawab memajukan pendidikan bukan terletak pada guru semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama erat antara sekolah, ibu bapa, komuniti dan pemimpin setempat.
Usaha melahirkan generasi cemerlang perlu merangkumi pencapaian akademik, sahsiah terpuji, disiplin, daya tahan, kreativiti serta kemahiran digital bagi membolehkan anak-anak Pahang bersaing dalam dunia yang semakin mencabar. -PAHANGMEDIA

