Oleh : Syafiqah Jamaluddin
Foto : Farizul Hafiz Awang
BERA, 15 OKTOBER 2026 : Seramai lebih 100 saudara baharu di daerah Bera menerima bantuan sebanyak RM200 seorang menerusi Inisiatif Makmur Pahang (IM Pahang) Kluster Mualaf bagi membantu meringankan beban perbelanjaan harian mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Hajah Sabariah Saidan berkata, inisiatif itu mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri dalam menjaga kebajikan saudara baharu tanpa mengira latar belakang kaum.
Menurut beliau, penerima bantuan terdiri daripada pelbagai kaum termasuk masyarakat India, Cina, Orang Asli serta komuniti dari Sabah dan Sarawak.
“Alhamdulillah, hari ini saya menghadiri majlis penyerahan Inisiatif Makmur Pahang bagi Kluster Mualaf Zon Timur untuk daerah Bera dengan kehadiran lebih 100 orang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyampaian Inisiatif Makmur Pahang Zon Bera, Kluster Mualaf Zon Timur di Dewan Seminar Masjid Darul Fikri, di sini, hari ini.
Mengulas mengenai kesinambungan bantuan itu, beliau berharap inisiatif berkenaan dapat diteruskan pada masa hadapan bagi membantu lebih ramai saudara baharu yang memerlukan.
“Kalau ada rezeki, insya-Allah, kalau Kerajaan Negeri bermurah hati, kita boleh teruskan. Mudah-mudahan ada pihak yang bermurah hati,” katanya.

Sementara itu, penerima bantuan, Sabri bin Wahid, 61, dari Pos Iskandar berkata, sumbangan berkenaan memberikan kegembiraan kepadanya kerana dapat membantu mengurangkan perbelanjaan keluarga.
Beliau yang memeluk Islam pada 2023 berkata, wang bantuan itu akan digunakan untuk membeli barangan keperluan dapur bagi kegunaan keluarganya.

Seorang lagi penerima, Iris binti Samti, 18, dari Kampung Bukit Gemuruh pula berkata, sumbangan berkenaan akan dimanfaatkan untuk membeli barangan keperluan selepas memeluk Islam pada April lalu.
Iris yang merupakan satu-satunya ahli keluarganya memeluk Islam turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri atas bantuan yang diterima.
“Saya nak ucap terima kasih sebab dah bagi sumbangan untuk mualaf baharu. Terima kasih Tok Wan,” katanya. -PAHANGMEDIA

