Oleh : Nur Saadah Artika
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 15 OKTOBER 2026 : Pembentangan Belanjawan Negeri Pahang 2027 dicadangkan untuk dibentang oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, pada 20 November ini sempena Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15.
YB Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, pihaknya bercadang untuk mengadakan Persidangan Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 bermula pada 20 November hingga 27 November 2026.
“Walau bagaimanapun, cadangan tarikh persidangan tersebut adalah tertakluk kepada perkenan Kebawah Duli Paduka Baginda (KDPB) Sultan Pahang.
“Sekiranya mendapat perkenan, persidangan akan dimulakan pada 20 November dengan pembentangan Belanjawan Negeri Pahang oleh YAB Menteri Besar Pahang, diikuti sesi perbahasan oleh Ahli-Ahli Dewan Negeri mulai 23 hingga 25 November.
“Seterusnya, sesi penggulungan oleh Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) dijadualkan pada 26 November, manakala penggulungan oleh YAB Menteri Besar Pahang pada 27 November 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Mesyuarat Persiapan bagi Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah, KotaSAS, di sini.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, persidangan kali ini turut memberi tumpuan kepada sesi soal jawab yang membolehkan Ahli Dewan Negeri mengemukakan persoalan berkaitan isu di bawah portfolio EXCO masing-masing.
“Kita akan mulakan dengan persoalan dan jawapan pada sebelah pagi. Ahli-ahli Dewan boleh mengemukakan soalan untuk dijawab oleh pihak yang berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, sebanyak 66 soalan dijadual dijawab sepanjang tempoh persidangan berkenaan, dengan pemilihan soalan dibuat berdasarkan kepentingan isu serta keperluan memberikan penjelasan yang menyeluruh kepada rakyat.
“Kita akan pilih soalan-soalan yang kita rasa, pertama sekali, soalan tersebut memerlukan jawapan yang menyeluruh. Keduanya, soalan itu bukan soalan berulang yang pernah ditanya pada penggal-penggal lepas.
“Ketiganya, soalan-soalan tersebut dapat memberikan kepuasan kepada pengundi-pengundi ataupun mereka yang berada di kawasan-kawasan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, penggunaan platform media sosial bagi menyiarkan persidangan secara langsung membolehkan rakyat mengikuti perbahasan dan persoalan yang dibangkitkan oleh wakil rakyat mereka.
“Sekarang semua platform media sosial seperti Facebook, Twitter, TikTok, Instagram dan YouTube digunakan.
“Menariknya, apabila kita mengadakan siaran langsung, kehadiran Ahli Dewan Negeri dapat dilihat dan rakyat juga boleh mendengar isu yang dibawa oleh wakil rakyat masing-masing,” katanya.
Menurut beliau, kemudahan itu turut memberi peluang kepada rakyat mendapatkan maklumat secara langsung mengenai perkara yang dibincangkan di dalam Dewan Negeri, berbanding sebelum ini apabila mereka lebih bergantung kepada laporan media.
“Sekarang ini orang dapat mendengar satu persatu apa yang diperbincangkan,” katanya. -PAHANGMEDIA

