Oleh : Nur Saadah Artika
KUANTAN, 14 OKTOBER 2026 : Pengagihan hasil ladang kepada masyarakat Orang Asli yang layak membuktikan pengusahaan tanah secara terancang mampu membuka peluang ekonomi dan menyediakan sumber pendapatan kepada komuniti berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, kerajaan negeri telah membantu mengusahakan beberapa ladang yang hasilnya diagihkan kepada peserta dalam kalangan masyarakat Orang Asli.
“Setakat ini, kita telah membantu beberapa ladang yang pendapatannya diagihkan kepada masyarakat Orang Asli.
“Ini boleh dilaksanakan apabila ladang-ladang berkenaan dibuka mengikut prosedur undang-undang tanah yang ditetapkan,” katanya.
Usaha berkenaan turut dilaksanakan menerusi Projek Tanam Semula Komersial Orang Asli (TSKOA) Negeri Pahang yang merekodkan sebanyak 34 projek telah diambil alih, dengan jumlah pembayaran sebanyak RM31,326,511.47 bagi tempoh 2024 hingga September 2026.
Antara contoh kejayaan usaha itu ialah pengagihan hasil kepada peserta tanah di Kampung Paya Sendayan, Temerloh, yang membolehkan masyarakat Orang Asli terlibat menerima manfaat ekonomi daripada pengusahaan ladang berkenaan.
“Baru-baru ini, kita berjaya mengagihkan hasil kepada peserta tanah di Kampung Paya Sendayan. Setiap peserta menerima kira-kira RM1,200,” katanya.
Menurutnya, pendapatan bulanan yang diperoleh peserta juga boleh berubah mengikut hasil pengeluaran kelapa sawit, dengan anggaran antara RM800 hingga RM1,200.
“Pendapatan bulanan mereka boleh berbeza mengikut hasil pengeluaran kelapa sawit, iaitu sekitar RM800 hingga RM1,200,” katanya.
Beliau berkata, usaha berkenaan turut dilaksanakan di beberapa kawasan lain di Pahang, termasuk Cameron Highlands, Lipis, Temerloh, Pekan dan Rompin, tertakluk kepada kelulusan serta pematuhan prosedur tanah yang berkuat kuasa.
“Apabila tanah berkenaan mematuhi prosedur yang ditetapkan, mendapat kelulusan pihak berkuasa negeri dan mempunyai persetujuan antara Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), masyarakat Orang Asli dan ORACO, tanah tersebut boleh diusahakan dan hasilnya diagihkan kepada peserta yang layak,” katanya.
Menurutnya, pematuhan prosedur berkenaan penting bagi memastikan pengusahaan tanah dapat dilaksanakan secara sah, manakala hasil yang diperoleh disalurkan kepada peserta yang benar-benar layak.
“Sekiranya kebun-kebun dan ladang-ladang yang dibuka mematuhi peraturan tanah yang ditetapkan di bawah Kanun Tanah Negara, kita boleh membantu mengusahakan tanah tersebut supaya hasil pendapatannya dapat diagihkan kepada masyarakat Orang Asli,” katanya. -PAHANGMEDIA

