Oleh : Nur Saadah Artika
KUANTAN, 14 OKTOBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang bersedia membantu masyarakat Orang Asli di Kampung Kuala Serting dan Lubuk Tambangan, Bera, yang memerlukan bantuan, namun pelaksanaannya masih memerlukan penyelarasan dan pengesahan maklumat peserta bagi memastikan bantuan dapat disalurkan kepada mereka yang layak.
Perkara itu susulan rayuan bantuan kemanusiaan untuk penduduk Orang Asli di kedua-dua kampung berkenaan yang membangkitkan isu berhubung bantuan Kerajaan Negeri, khususnya bagi membolehkan mereka mengusahakan tanah dan menjana pendapatan.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, Kerajaan Negeri bersedia membantu mengusahakan tanah yang diluluskan, namun bantuan kepada masyarakat Orang Asli di Bera masih tertangguh kerana JAKOA belum menerima senarai nama peserta.
“Kita sebenarnya bersedia membantu, tetapi tanah itu mestilah mendapat kebenaran pihak berkuasa negeri dan diusahakan mengikut peraturan yang ditetapkan.
“Sehingga kini, senarai tersebut masih belum diterima oleh JAKOA.
“Tujuan kita meminta senarai nama adalah untuk mengenal pasti individu yang benar-benar berasal dari kampung berkenaan dan layak menerima manfaat daripada pengusahaan tanah itu,” katanya.
Menurutnya, pengesahan tersebut juga penting bagi mengelakkan manfaat pengusahaan tanah diberikan kepada individu yang tidak sepatutnya menerimanya, sekali gus melindungi hak penduduk asal.
“Kita tidak mahu bantuan diberikan secara sewenang-wenangnya tanpa proses semakan dan pengesahan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, proses membantu masyarakat Orang Asli mengusahakan tanah memerlukan dokumentasi lengkap, termasuk senarai nama peserta yang disahkan, pelan tanah serta permohonan rasmi melalui JAKOA kepada pihak berkuasa negeri.
“Pertama, kita perlu mengetahui siapa individu yang terlibat melalui senarai nama rasmi dan memastikan mereka benar-benar penduduk kampung berkenaan.
“Kedua, kita perlu mengenal pasti tanah yang hendak diusahakan berserta pelan tanah tersebut.
“Ketiga, JAKOA perlu mengemukakan permohonan kepada pihak berkuasa negeri yang bertanggungjawab terhadap urusan tanah,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri bersimpati dengan keadaan masyarakat Orang Asli yang berdepan pertelagahan berkaitan isu tanah di beberapa kampung di Bera dan bersedia mengadakan rundingan dengan pihak berkuasa tanah negeri bagi mencari penyelesaian.
“Kita bersimpati dengan keadaan mereka dan mahu membantu. Malah, kita bersedia mengadakan rundingan dengan pihak berkuasa tanah negeri bagi mencari penyelesaian,” katanya.
“Sehingga kini, saya masih menunggu senarai nama berkenaan daripada JAKOA supaya usaha membantu masyarakat Orang Asli di Bera dapat diteruskan,” katanya. -PAHANGMEDIA

