Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUALA LUMPUR, 14 OKTOBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang melalui Invest Pahang mengetengahkan lapan kluster promosi pelaburan strategik sempena Selangor International Business Summit (SIBS) 2026 bagi memperluas peluang pelaburan dan memperkukuh pembangunan ekonomi negeri di peringkat antarabangsa.
Penyertaan menerusi Pavilion Invest Pahang yang berlangsung dari 14 hingga 17 Oktober ini di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) memberi tumpuan kepada projek berimpak tinggi serta pembangunan industri yang menjadi fokus semasa kerajaan negeri.

Lapan kluster berkenaan merangkumi projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan dan Bandar Aeroangkasa, East Coast Railway Link (ECRL), Transit Oriented Development (TOD), kemudahan menjalankan perniagaan, pembuatan, komersial dan kehidupan pintar, inisiatif halal Pahang, serta ekosistem syarikat pemula Pahang.
Kluster Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan dan Bandar Aeroangkasa merangkumi pembangunan Omniport, Future Industries dan Cherating Gateway, manakala kluster lain memberi penekanan kepada pembangunan infrastruktur, pemerkasaan sektor pembuatan, perumahan, hartanah, industri halal dan keusahawanan.

Promosi berkenaan turut melibatkan kerjasama pelbagai jabatan, agensi dan syarikat berkaitan kerajaan termasuk Pahang Aerospace City Development Berhad (PACDB), Malaysia Rail Link (MRL), Malaysian Investment Development Authority (MIDA), Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) dan Yayasan Pahang.
Penyertaan itu selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri Pahang untuk meningkatkan hasil negeri menerusi pelbagai inisiatif, selain mengetengahkan potensi pelaburan strategik yang mampu merancakkan pertumbuhan ekonomi serta membuka ruang kepada kerjasama pelabur tempatan dan antarabangsa.
Menerusi platform berkenaan juga, Pahang berpeluang memperkenalkan potensi pembangunan negeri secara lebih tersusun mengikut kluster, sekali gus mengukuhkan kedudukan Pahang sebagai destinasi pelaburan yang berdaya saing. -PAHANGMEDIA

