Oleh : Nur Saadah Artika
KUANTAN, 14 OKTOBER 2026 : Semua sekolah di Pahang kekal beroperasi seperti biasa bermula esok, namun semua aktiviti luar di sekolah di tujuh daerah ditangguhkan berikutan keadaan jerebu.
Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) dalam kenyataan media memaklumkan status pengoperasian sekolah adalah pada Khamis, 15 Oktober 2026 yang melibatkan daerah Pekan, Kuantan, Rompin, Temerloh, Maran, Bera dan Bentong akan meneruskan sesi persekolahan dengan penangguhan semua aktiviti luar.
Murid yang hadir ke sekolah di tujuh daerah berkenaan turut digalakkan memakai pelitup muka sebagai langkah berjaga-jaga bagi melindungi kesihatan mereka susulan keadaan jerebu.
Ibu bapa yang bimbang akan kesihatan anak-anak juga boleh memilih untuk tidak menghantar mereka ke sekolah dengan memaklumkan perkara itu kepada pihak sekolah.
Sementara itu, sekolah di daerah Lipis, Jerantut, Cameron Highlands dan Raub kekal beroperasi seperti biasa. -PAHANGMEDIA

