Oleh : Syafiqah Jamaluddin
RAUB, 14 OKTOBER 2026 : Seramai 41 pemandu pelancong dari seluruh Pahang mengikuti Kursus Pemandu Pelancong Berkemahiran Alam Semula Jadi Tahap II selama 17 hari bagi memperkukuh kemahiran mengendalikan pelancong serta meningkatkan keupayaan memelihara biodiversiti negeri di Bukit Fraser di sini.
Pengurus Besar Tourism Pahang, Puan Nor Zahira Muhammad Azmi berkata, program anjuran agensi itu merupakan inisiatif di bawah Belanjawan Negeri Pahang 2026 yang memberi tumpuan kepada peningkatan kemahiran dan profesionalisme pemain industri pelancongan, khususnya dalam sektor berasaskan alam semula jadi.
“Pembangunan kompetensi pemandu pelancong penting bagi memastikan kekayaan alam semula jadi Pahang disokong perkhidmatan berkualiti dan profesional. Pahang mempunyai kelebihan yang cukup besar dalam sektor pelancongan berasaskan alam semula jadi.

“Justeru, kita bukan sahaja perlu memiliki produk pelancongan yang berkualiti, malah perlu memastikan tenaga kerja dan pemandu pelancong mempunyai kemahiran, pengetahuan serta tahap profesionalisme yang tinggi bagi memberikan pengalaman terbaik kepada pelancong,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kursus berkenaan merangkumi pembelajaran teori dan latihan praktikal dalam aspek interpretasi alam semula jadi, keselamatan, pemeliharaan biodiversiti serta pengendalian pelancong secara profesional dan bertanggungjawab.
Peningkatan kemahiran itu turut menyokong aspirasi Visit Malaysia 2026 dan 2027 serta kempen Pahang First dalam usaha memperkukuh kedudukan negeri sebagai destinasi ekopelancongan.
Melalui latihan itu, peserta diharap dapat mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh bagi meningkatkan mutu perkhidmatan serta memperkenalkan keunikan khazanah alam Pahang kepada pelancong domestik dan antarabangsa. -PAHANGMEDIA

