Oleh: Aimi Syafiqa
KUANTAN, 13 OKTOBER 2026: Semua institusi pendidikan dibawah selian Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang di daerah Rompin, Pekan dan Kuantan akan ditutup sementara esok, 14 Oktober, susulan keadaan jerebu yang melanda kawasan berkenaan.
JPN Pahang dalam satu kenyataan memaklumkan, keputusan itu dibuat berdasarkan keadaan semasa jerebu serta pemantauan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid, guru serta seluruh warga pendidikan sentiasa terpelihara.
Menurut kenyataan itu, sepanjang tempoh penutupan, sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) hendaklah dilaksanakan melalui kaedah bersesuaian dengan mengambil kira kemampuan, akses dan keperluan murid serta kesiapsiagaan guru.
Walau bagaimanapun, peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) akan diteruskan mengikut jadual yang telah ditetapkan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta langkah keselamatan yang berkuat kuasa.
Selain itu, penutupan sekolah akan dilaksanakan secara automatik sekiranya bacaan IPU mencapai paras 180 dan ke atas menjelang hari berikutnya.
Sehubungan itu, semua institusi pendidikan diingatkan supaya sentiasa memantau perkembangan bacaan IPU melalui portal rasmi Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta mematuhi arahan dan garis panduan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.
Dalam pada itu, JPN Pahang turut memaklumkan bahawa ibu bapa dan penjaga boleh memilih untuk tidak menghantar anak ke sekolah sekiranya bacaan IPU mencapai paras 150 dan ke atas, dengan memaklumkan keputusan tersebut kepada pihak sekolah yang masih beroperasi. -PAHANGMEDIA

