Oleh : Nur Saadah Artika
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 13 OKTOBER 2026 : Tanggungjawab menunaikan nafkah bukan sekadar kewajipan dari sudut undang-undang, malah amanah agama yang perlu dilaksanakan bagi memastikan kesejahteraan keluarga serta keselamatan di dunia dan akhirat.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, kesedaran mengenai tanggungjawab itu perlu dipertingkatkan supaya setiap individu memahami kewajipan masing-masing menurut tuntutan syarak dan perundangan.
“Perkara paling penting yang kita mahu sedarkan ialah supaya mereka selamat di dunia dan akhirat dalam soal nafkah ini.
“Tujuan kita mengadakan program ini adalah untuk membantu semua pihak supaya tanggungjawab yang dipersoalkan oleh agama dapat ditunaikan,” katanya.

Beliau berkata demikan ketika merasmikan Program Ops Nafkah: Waris Peduli, Keluarga Sejahtera Tahun 2026 Peringkat Negeri Pahang di Hotel Sri Manja, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Negeri Pahang di bawah kepimpinan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail sentiasa komited membantu golongan memerlukan menerusi pelbagai inisiatif kebajikan berteraskan semangat Pahang1st, termasuk bantuan kepada ibu tunggal serta cadangan memperluas manfaat kad kesihatan kepada golongan berkenaan.
“Bagi pihak Kerajaan Negeri, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail telah membuat beberapa langkah bagi membantu hal-hal seperti ini melalui semangat Pahang 1st.
“Contohnya, bantuan kepada ibu tunggal sebagaimana kita beri kepada tok imam untuk raya, tok bilal, tok siak dan guru-guru KAFA, begitu juga kita cuba membantu ibu tunggal.

“Begitu juga YAB Menteri Besar Pahang memperkenalkan kad kesihatan. Hal ini juga layak untuk dicadangkan dan diberikan kepada ibu-ibu tunggal,” katanya.
Sementara itu, program berkenaan turut menyaksikan penyampaian sumbangan bakul makanan kepada 130 penerima hasil sumbangan pihak penganjur dan Kerajaan Negeri Pahang sebagai usaha meringankan beban golongan yang memerlukan.
Selain itu, enam penerima turut menerima sumbangan berjumlah keseluruhan RM13,800 menerusi penyerahan cek cura, yang akan disalurkan secara ansuran dalam tempoh enam bulan bagi membantu meringankan beban kewangan mereka.
Penganjuran program itu diharap dapat memperkukuh kerjasama antara institusi kehakiman syariah dan Kerajaan Negeri dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap tanggungjawab nafkah, di samping memastikan kebajikan keluarga yang terkesan terus diberikan perhatian. -PAHANGMEDIA

