Oleh : Ain Nadhirah Basha
SELANGOR, 08 SEPTEMBER 2026 : Kontinjen Pahang mengumpul 18 pingat membabitkan tiga emas, enam perak dan sembilan gangsa pada Para SUKMA Selangor 2026 setakat ini.
Tiga pingat emas Pahang hadir menerusi Mohd Shaari Mohd Jaafar dalam acara lontar peluru F44/F64 lelaki, Loh Chi Hui dalam acara 70 meter Round Recurve Individu P.I.2 wanita, dan Mohamad Abduh Zainuddin dalam acara beregu campuran/terbuka B2 para boling padang.
Mohd Shaari mencatatkan 10.60 meter pada 6 September lalu untuk muncul juara lontar peluru dan menghadiahkan emas pertama buat kontinjen Pahang.

Loh Chi Hui pula meneruskan kutipan emas apabila mencipta kejayaan dalam acara memanah 70 meter Round Recurve Individu P.I.2 wanita pada hari pertama temasya sukan Para SUKMA Selangor 2026.
Manakala kilauan emas ketiga pula dihadiahkan oleh Mohamad Abduh selepas menewaskan wakil Johor dalam saingan hari ini.
Dalam pada itu, enam pingat perak disumbangkan menerusi Nurul Aniza Che Ibrahim menerusi perseorangan B1 wanita bagi sukan para boling padang, Mohamad Hafis Mohamad Ali dan Intan Noor Syakira Zainuddin (perseorangan TPB3 lelaki dan wanita), Mohd Sakani Sapian (perseorangan TPB1), Sascha Salman (100 meter gaya bebas S14 wanita), serta Siti Nur Amira Hamizul (perseorangan kelas terbuka kerusi roda wanita, para ping pong).

Sementara itu, sembilan pingat gangsa pula diraih menerusi Nur Erna Syuhadah Abdullah dalam acara lontar peluru dan lempar cakera F37 wanita, serta Mohd Shaari dalam acara merejam lembing lelaki F44.
Turut menghadiahkan gangsa, Muhammad Hadwan Hilman Mohd Nor Hisham (perseorangan TPB4 lelaki), Muhammad Syawal Zahari (perseorangan TPB8 lelaki), gandingan Mohd Sakani Sapian/Mohamad Hafis Mohamad Ali (beregu B1+B2/3).
Menambah jumlah kutipan pingat, dua daripadanya disumbangkan oleh Sascha Salman menerusi acara 100 meter kuak lentang dan 100 meter kuak kupu-kupu S14 wanita, serta satu lagi daripada Melinda Tiong Zhing Zhing dalam acara powerlifting heavyweight +61 kilogram angkatan terbaik wanita. -PAHANGMEDIA

