Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Shahrizar Azdhar
SELANGOR, 08 SEPTEMBER 2026 : Atlet olahraga Pahang, Mohd Shaari Mohd Jaafar terus mengharumkan nama negeri apabila menyumbang pingat gangsa dalam acara rejam lembing lelaki F44 pada Para SUKMA 2026, di Stadium UiTM Shah Alam hari ini.
Mohd Shaari, 38, yang berasal dari Kuala Krau, Temerloh, merekodkan catatan 34.79 meter untuk menamatkan saingan di tempat ketiga manakala pingat emas dan perak masing-masing menjadi milik dua atlet Sabah dengan catatan 36.30 meter dan 34.88 meter.
Kejayaan itu hadir selepas atlet berusia 38 tahun berkenaan terlebih dahulu menghadiahkan pingat emas kepada Pahang menerusi acara lontar peluru lelaki F44 pada 6 September lalu dengan catatan 10.60 meter, selain berjaya memecahkan rekod peribadinya.
Mengulas kejayaannya meraih gangsa, Mohd Shaari mengakui sedikit kecewa kerana gagal memperbaiki rekodnya dalam acara berkenaan, namun tetap bersyukur dengan rezeki yang diperoleh.
“Kalau ikutkan memang rasa kecewa sikit sebab rekod itu rekod saya. Tapi dah tertulis rezeki setakat hari ini nombor tiga.
“Saya pun bersyukur sebab untuk emas itu pun saya dah berpuas hati. Dah dapat pingat emas dan dah pecah rekod peribadi,” katanya.
Mohd Shaari bagaimanapun tidak mahu menjadikan keputusan itu sebagai penamat perjuangannya apabila masih mempunyai satu lagi acara untuk dipertandingkan esok serta berharap dapat meneruskan momentum pada saingan terakhirnya esok sekali gus menambah koleksi pingat buat negeri Pahang.
“Insya-Allah hari esok saya akan buat yang terbaik lagi. Ada satu lagi acara, iaitu Lempar Cakra.Target mesti ada podium. Insya-Allah saya akan buat yang terbaik,” katanya.
Beliau turut menyifatkan kejayaan yang diraih pada Para SUKMA kali ini sebagai sesuatu yang amat bermakna, khususnya apabila berpeluang menyumbang pingat buat kontinjen Pahang. -PAHANGMEDIA

