Oleh : Syafiqah Jamaluddin
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
CAMERON HIGHLANDS, 08 SEPTEMBER 2026 : Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Se-Malaysia Tahun 2026 menjadi platform penting menghimpunkan kepimpinan institusi legislatif dari seluruh negara bagi memperkukuh kerjasama, berkongsi pengalaman serta memperkasakan amalan demokrasi demi kepentingan rakyat.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata institusi legislatif perlu terus diperkukuh bagi memastikan demokrasi negara kekal matang, dihormati dan mampu membina keyakinan rakyat.

Beliau berkata kekuatan demokrasi bukan hanya bergantung kepada undang-undang dan peraturan, sebaliknya turut berteraskan integriti, keadilan, ketelusan dan amanah dalam memastikan hak semua pihak dihormati.
“Ketegasan tanpa kebijaksanaan boleh menjadikan Dewan terlalu keras, manakala kebijaksanaan tanpa ketegasan pula boleh menyebabkan peraturan tidak dihormati.
“Apabila ketegasan dan kebijaksanaan disertai keadilan, kita dapat membina sebuah Dewan yang dihormati,” katanya.

Menurut beliau, Speaker mempunyai tanggungjawab besar memastikan perjalanan Dewan berlangsung tertib, selain mentafsir Peraturan Mesyuarat dan menjaga hak semua Ahli Dewan, dengan ketegasan, kebijaksanaan serta keadilan menjadi asas kepimpinan.
Katanya, demokrasi matang bukan bermaksud semua pihak perlu bersetuju, sebaliknya perbezaan pandangan perlu dihormati dan disampaikan melalui perbahasan berasaskan fakta, kritikan berasas serta cadangan yang membawa penyelesaian kepada rakyat.

Berliau berkata Parlimen dan DUN bukan institusi yang bersaing, sebaliknya saling melengkapi dalam sistem Persekutuan, justeru hubungan kedua-duanya perlu diperkukuh melalui perkongsian pengalaman, amalan terbaik dan penyelesaian bersama.
Mengakhiri ucapan, beliau berkata persidangan berkenaan wajar dimanfaatkan untuk memperkukuh jaringan kerjasama antara Parlimen dan DUN, selain membina kepercayaan rakyat melalui integriti, keadilan, ketelusan dan tindakan yang konsisten.
“Institusi legislatif yang kuat akan melahirkan demokrasi yang kuat. Demokrasi yang kuat akan membina keyakinan rakyat, dan keyakinan rakyat akan menjadi asas kepada Malaysia yang stabil, makmur dan dihormati,” katanya. -PAHANGMEDIA

