Oleh : Syafiqah Jamaluddin
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
CAMERON HIGHLANDS, 08 SEPTEMBER 2026 : Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Se-Malaysia menjadi wadah strategik dalam memperkukuh kerjasama antara institusi legislatif di peringkat Persekutuan dan negeri, selain membentuk kesepakatan serta mencetuskan idea baharu yang dapat memperkasakan sistem demokrasi dan memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Yang di-Pertua Dewan Rakyat, YB Tan Sri Dato’ Dr. Johari bin Abdul berkata, persidangan berkenaan bukan sekadar ruang untuk Speaker-Speaker berkongsi pengalaman berkaitan perjalanan Dewan masing-masing, malah menjadi medan penting untuk mencari, menilai dan berkongsi pendekatan terbaik dalam memperkemaskan peranan institusi legislatif negara.
Menurut beliau, hubungan antara Parlimen Malaysia yang merangkumi Dewan Rakyat dan Dewan Negara dengan semua DUN perlu diperkukuh berlandaskan prinsip federalisme, dengan setiap institusi saling membantu dan melengkapi demi kepentingan rakyat.

“Setiap tahun Speaker-Speaker akan berkumpul dan bukan sahaja berkongsi pengalaman apa yang berlaku di Dewan masing-masing, tetapi juga harus mencari idea-idea baharu.
“Kalau ada penemuan atau idea-idea baharu, maka ini harus kita kongsikan bagi memastikan akhirnya yang mendapat manfaat ialah rakyat jelata,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Se-Malaysia Tahun 2026 di Zenith Hotel, Cameron Highlands, di sini hari ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Dewan Negeri Pahang kerana mengambil inisiatif menganjurkan persidangan berkenaan untuk kali kedua selepas penganjuran pertama pada 2021, sekali gus menyediakan ruang berterusan kepada Speaker-Speaker bertukar pengalaman dan pandangan.

Katanya, setiap penemuan, pengalaman serta idea baharu yang dibincangkan perlu dikongsi bersama supaya penambahbaikan yang dilaksanakan di sesebuah Dewan dapat diperluaskan dan memberi manfaat lebih besar kepada rakyat.
Dalam pada itu, Tan Sri Johari berkata persidangan tersebut turut membuka ruang untuk membincangkan pembangunan kepimpinan generasi muda sebagai persediaan memastikan kesinambungan kepimpinan negara pada masa hadapan.
Menurut beliau, usaha melahirkan pemimpin masa depan perlu dirancang secara sistematik dan tidak boleh berlaku secara kebetulan, termasuk dengan memberi pendedahan kepada golongan muda mengenai institusi Parlimen serta proses demokrasi sejak di bangku sekolah.

“Saya mengambil pendekatan bahawa Ahli Parlimen Belia ini adalah pemimpin saya masa depan. Jadi mereka ini harus diberikan ruang seluas-luasnya untuk mempersiapkan diri mereka untuk menjadi pemimpin,” katanya.
Beliau berkata, setiap resolusi yang dihasilkan melalui Parlimen Belia akan disampaikan kepada Speaker Dewan Rakyat sebelum dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas atau kementerian berkaitan untuk mendapatkan respons, sekali gus memastikan pandangan golongan muda tidak terhenti di peringkat Parlimen Belia sahaja.
Katanya, pembangunan kepimpinan berkenaan perlu membentuk satu ekosistem yang berterusan menerusi inisiatif seperti Sekolah Parlimen, Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Parlimen Belia bagi melahirkan generasi yang lebih matang, berfikiran kritis dan kompetitif.
Usaha memperkukuh institusi legislatif dan membangunkan kepimpinan generasi muda perlu dilihat sebagai pelaburan jangka panjang bagi memastikan kesinambungan kepimpinan serta pembangunan negara terus terjamin. -PAHANGMEDIA

