Oleh : Nur Saadah Artika
Foto : Zeti Akhtar Lokman
KUANTAN, 08 SEPTEMBER 2026 : Wilayah Pantai Timur terus memperlihatkan potensi besar sebagai destinasi pelaburan apabila Pahang, Kelantan dan Terengganu merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM61.4 bilion bagi tempoh 2021 hingga Jun 2026, melibatkan 1,746 projek dan dijangka mewujudkan lebih 30,000 peluang pekerjaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata, pencapaian itu membuktikan Wilayah Pantai Timur mempunyai ruang dan potensi pelaburan yang luas untuk diterokai pelabur asing mahupun domestik.
“Kehadiran pelabur, syarikat tempatan dan agensi Kerajaan di bawah satu bumbung pada hari ini mencerminkan komitmen bersama untuk mengetengahkan dan merealisasikan peluang pelaburan serta memperkukuh ekosistem industri di Wilayah Pantai Timur.
“Dari 2021 hingga Jun 2026, Pahang, Kelantan dan Terengganu merekodkan RM61.4 bilion pelaburan diluluskan, melibatkan 1,746 projek dan dijangka mewujudkan lebih 30,000 peluang pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Seminar Pelaburan Wilayah Pantai Timur 2026: Memacu Pembangunan Pelaburan dan Bumiputera di Koridor Pantai Timur di AC Hotel by Marriott, Kuantan, disini, hari ini.
Seminar anjuran MIDA itu menghimpunkan lebih 400 peserta terdiri daripada syarikat tempatan termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat Bumiputera, syarikat mid-tier, pelabur, pemain industri, institusi kewangan dan agensi Kerajaan.
MIDA menerusi seminar berkenaan terus memperkukuh usaha menarik dan memudah cara pelaburan ke Wilayah Pantai Timur melalui kerjasama strategik bersama Kerajaan Negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu serta lebih 10 agensi Kerajaan.
Pendekatan bersepadu itu turut memberi tumpuan kepada usaha membuka lebih banyak peluang kepada pelabur dan syarikat tempatan, khususnya dalam memperkukuh penglibatan perusahaan tempatan serta Bumiputera dalam rantaian ekosistem pelaburan dan industri.
Inisiatif berkenaan mencerminkan pendekatan kerajaan untuk bukan sahaja menarik pelaburan baharu, malah memastikan pelabur dan syarikat tempatan mendapat sokongan yang diperlukan bagi merealisasikan projek serta mengembangkan operasi mereka di Wilayah Pantai Timur. -PAHANGMEDIA

