Oleh : Syafiqah Jamaluddin
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
CAMERON HIGHLANDS, 07 SEPTEMBER 2026 : Lawatan ke beberapa destinasi pelancongan di Cameron Highlands menjadi antara pengisian sempena Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Se-Malaysia Tahun 2026, sekali gus memberi ruang kepada delegasi mengeratkan silaturahim dan mengenali antara satu sama lain dalam suasana lebih santai.
Program lawatan yang berlangsung hari ini turut memberi peluang kepada Speaker dan Timbalan Speaker dari seluruh negara mengenali dengan lebih dekat keunikan serta daya tarikan pelancongan yang terdapat di Pahang, khususnya Cameron Highlands yang terkenal dengan keindahan alam semula jadinya.
YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Hj Mohd Sharkar Hj Shamsudin berkata, pendekatan penganjuran kali ini sedikit berbeza apabila delegasi dibawa menikmati lawatan terlebih dahulu sebelum memulakan persidangan rasmi pada esok hari.

“Semalam mereka sampai dan hari ini kita mulakan dengan lawatan ke tempat-tempat menarik. Satunya, pagi tadi kita pergi ke Mossy Forest.
“Ini adalah salah satu daripada daya tarikan pelancongan yang jarang-jarang ada di dunia dan hanya ada satu sahaja iaitu di Mossy Forest di Cameron Highlands,” katanya.
Beliau berkata, selepas lawatan ke Mossy Forest, delegasi meneruskan kunjungan ke Sungai Palas Tea Plantation sebelum dijadualkan menikmati makan tengah hari di Kampung Melayu.
Menurut beliau, pengisian berkenaan bukan sekadar memperkenalkan destinasi menarik di Pahang, malah menjadi kesempatan untuk mewujudkan hubungan lebih akrab antara Speaker dan Timbalan Speaker yang hadir.
“Selalunya program kita ini kita bersidang dulu, kemudian baru kita melawat. Tapi di Pahang ini kita buwa mereka melawat dulu.

“Jadi kita dapat merapatkan silaturahim, ukhuwah kita dan mengenali antara satu sama lain,” katanya.
Beliau berkata, perkara itu amat penting memandangkan terdapat dua Speaker baharu dari Negeri Sembilan dan Johor yang baru dilantik, selain Speaker-Speaker dari negeri lain yang turut menyertai persidangan berkenaan.
Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan DUN Se-Malaysia Tahun 2026 yang diadakan pada 6 hingga 9 September di Pahang menjadi platform untuk Speaker dan Timbalan Speaker berkongsi pandangan serta pengalaman berkaitan pengurusan dan perjalanan institusi legislatif di peringkat negeri dan Persekutuan.
Persidangan berkenaan turut mencerminkan usaha memperkukuh hubungan antara institusi legislatif seluruh negara, di samping memperkenalkan keunikan Pahang kepada delegasi yang hadir. -PAHANGMEDIA

