Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
KUANTAN, 07 SEPTEMBER 2026 : Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pahang menasihati orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka susulan keadaan cuaca panas dan kering yang berpotensi meningkatkan risiko kebakaran serta jerebu.
Menurut statistik JBPM Negeri Pahang, sebanyak 1,003 kes kebakaran terbuka melibatkan kawasan seluas kira-kira 2,721.88 hektar direkodkan bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Ogos 2026, berbanding 658 kes melibatkan kawasan seluas 1,162.83 hektar bagi tempoh sama tahun lalu.
Dalam pada itu, pemantauan melalui Forest Fire Information System (ForFIS) bagi tempoh 5 hingga 7 September 2026 turut mengesan titik panas di beberapa daerah di Pahang.
Menurut Pengarah JBPM Negeri Pahang, YS PKPjB Dato’ Mohd Razam Taja, masyarakat dinasihatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka, khususnya membakar sampah, daun kering, lalang, semak samun atau sisa kebun.
“Saya ingin menegaskan kepada masyarakat supaya tidak melakukan pembakaran terbuka, terutama membakar sampah, daun kering, lalang, semak samun atau sisa kebun. Dalam keadaan persekitaran yang kering, api yang kecil boleh merebak dan menjadi kebakaran yang lebih besar dalam tempoh yang singkat.
“Jangan kerana ingin melupuskan sampah atau membersihkan kawasan dengan cara mudah, akhirnya api merebak ke kawasan jiran, kebun, hutan atau kediaman. Tindakan yang kelihatan kecil boleh membawa kesan besar kepada keselamatan, harta benda dan alam sekitar,” katanya.
Tambahnya, JBPM sentiasa berada dalam keadaan siap siaga untuk melaksanakan tindakan operasi sekiranya berlaku sebarang insiden kebakaran.
“JBPM sentiasa bersiap sedia untuk melaksanakan tindakan operasi, tetapi pencegahan adalah benteng pertama dalam mengelakkan kebakaran. Jika terlihat kebakaran atau asap tebal, laporkan segera dan jangan tunggu sehingga api menjadi besar,” katanya. -PAHANGMEDIA

