Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Shahrizar Azdhar
SELANGOR, 06 SEPTEMBER 2026 : Kontinjen Pahang optimis mampu mencapai sasaran lebih tinggi dengan memburu 15 pingat emas pada temasya Para SUKMA Selangor 2026, meskipun hanya mempertaruhkan 69 atlet.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Fadzli Mohamad Kamal berkata, sasaran rasmi kontinjen Pahang adalah sebanyak 10 pingat emas, namun beliau yakin kemampuan atlet negeri untuk membawa pulang sekurang-kurangnya 15 emas.
“Syukur alhamdulillah, setakat pagi ini kontinjen Pahang telah berjaya merangkul dua pingat emas. Pingat pertama menerusi acara lontar peluru yang dimenangi saudara Shahri, manakala sebentar tadi acara memanah individu recurve wanita menerusi Loh turut menyumbang pingat emas.
“Saya optimis kita mampu mencapai sasaran yang telah ditetapkan. Pihak kontinjen meletakkan sasaran 10 pingat emas, namun saya menyasarkan 15 pingat emas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyaksikan beberapa acara yang disertai atlet Pahang pada hari pertama Para SUKMA Selangor hari ini.
Katanya, pencapaian dua emas pada hari pertama ini merupakan permulaan cukup baik dan memberi keyakinan kepada kontinjen untuk mencapai sasaran ditetapkan.

Bagaimanapun, beliau mengakui terdapat cabaran apabila lima acara digugurkan kali ini berbanding Para SUKMA Sarawak pada dua tahun lalu.
“Di Sarawak terdapat 15 acara, manakala Para SUKMA Selangor hanya 10 acara. Walaupun begitu, kita tetap bersemangat dan saya optimis kita mampu mencapai sasaran.
“Antara tumpuan kita ialah olahraga yang disasarkan sekurang-kurangnya dua lagi pingat emas, selain memanah yang turut berpotensi menyumbang beberapa emas. Pingpong dan bowling juga merupakan antara acara yang kita lihat mempunyai peluang,” katanya.
Beliau dalam masa yang sama turut melahirkan kebimbangan terhadap keadaan jerebu yang boleh menjejaskan kelancaran acara terutama yang berlangsung di kawasan luar dan terbuka.
“Saya melihat kesiapsiagaan atlet kita berada pada tahap yang cukup baik. Cuma, saya agak risau dengan keadaan fenomena jerebu ketika ini.
“Sebagai contoh, acara luar seperti memanah pada petang ini terpaksa ditangguhkan atas nasihat pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Kita berharap apabila keadaan jerebu semakin pulih, perlawanan akan dapat diteruskan semula. Namun, saya telah meminta mereka untuk melakukan yang terbaik demi negeri Pahang,” katanya. -PAHANGMEDIA

