Oleh : Nur Saadah Artika
Foto : Farizul Hafiz Awang
LIPIS, 06 SEPTEMBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan RM1.187 juta sebagai tanda penghargaan dan apresiasi kepada 11,870 petugas kesihatan di bawah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) menerusi Majlis Apresiasi Pahang1st, hari ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penghargaan itu merupakan tanda keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap petugas kesihatan yang sentiasa melaksanakan tanggungjawab menjaga kesihatan rakyat tanpa mengira masa.

“Hari ini Kerajaan Negeri Pahang menyampaikan baucar berjumlah RM1.187 juta sebagai tanda penghargaan dan apresiasi kepada 11,870 petugas kesihatan di bawah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang.
“Iaitu petugas-petugas yang terdiri daripada doktor, pembantu kesihatan, pegawai, kakitangan sampailah ke pihak yang membawa kereta ambulans.
“Kita tahu mereka ini semua peringkat menjalankan tugas, boleh dikatakan 24 jam secara bergilir. Jadi, Kerajaan Negeri Pahang terpanggil untuk meraikan mereka pada hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Apresiasi Pahang1st kepada Petugas Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Lipis, di sini, hari ini.
Beliau berkata Kerajaan Pahang komited untuk terus menyantuni dan menghargai semua golongan yang berkhidmat serta bekerja di negeri ini.
“Sebelum ini kita telah meraikan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang dan hari ini pula Jabatan Kesihatan. Selepas ini kita akan fikirkan, insya-Allah, kalau boleh kita nak santuni semua mereka yang bekerja di Negeri Pahang,” katanya.

Mengulas lanjut, selain daripada peruntukan kepada petugas kesihatan yang seramai 11,870, Kerajaan Negeri juga akan memberikan peruntukan kepada golongan professional berupa baju batik dengan peruntukan lebih dari RM7,000.
“Yang buat pengumuman tadi, hari ini kita bagi kepada kumpulan sokongan, 11,870 orang. Manakala yang profesional kita akan beri dalam bentuk baju batik yang ada slogan Pahang1st, insya-Allah dalam masa dua hingga tiga bulan bernilai lebih RM7,000,” katanya.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Dato’ Ir. Razali Kassim serta barisan ketua ketua jabatan.
Majlis Apresiasi Pahang1st itu diadakan sebagai penghargaan kepada 11,870 petugas kesihatan negeri, dengan setiap seorang menerima baucar bernilai RM100, sebagai tanda penghargaan kepada warga kerja kesihatan yang menjadi antara barisan penting dalam memastikan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat Pahang terus berjalan dengan baik. -PAHANGMEDIA

