Oleh : Syafiqah Jamaluddin
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 05 SEPTEMBER 2026 : Sejarah perlu terus dihayati generasi muda kerana ia menjadi asas dalam memahami asal-usul negara, pembentukan negeri-negeri serta perjuangan generasi terdahulu dalam membangunkan Malaysia.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib berkata, sejarah merupakan warisan yang tidak ternilai dan mempunyai kisah serta keunikan tersendiri yang tidak sama dengan negara lain.
Menurut beliau, kegagalan masyarakat mengambil cakna terhadap sejarah akan menyebabkan pelbagai kisah perjuangan dan pengorbanan tokoh terdahulu tidak dapat diwariskan kepada generasi akan datang.
“Sekiranya kita tidak ambil cakna mengenai sejarah, kita menjadi masyarakat yang rugi kerana tidak dapat menurunkan cerita-cerita menarik mengenai pahlawan dan perjuangan nenek moyang kita kepada generasi seterusnya.

“Banyak yang boleh dipelajari daripada nenek moyang dan pejuang-pejuang kemerdekaan, antaranya kecekalan, kebijaksanaan menangani krisis serta ketegasan mereka dalam melaksanakan sesuatu demi pembangunan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Pertandingan Kuiz Sejarah dan Patriotisme Peringkat Kebangsaan 2026 yang dianjurkan Persatuan Sejarah Malaysia dengan kerjasama Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Pahang.
Menurut beliau, pertandingan berkenaan menjadi platform untuk menguji tahap kefahaman dan pengetahuan pelajar sekolah menengah berkaitan sejarah, selain melihat sejauh mana mereka mampu mengolah ilmu yang dipelajari dalam menjawab soalan berkaitan sejarah dan patriotisme.

“Program ini menguji kefahaman dan ilmu pengetahuan pelajar-pelajar di peringkat sekolah menengah, sejauh mana mereka memahami dan mendalami sejarah serta bagaimana mereka boleh mengolah pengetahuan tersebut dalam bentuk jawapan kepada soalan-soalan yang diketengahkan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan golongan muda supaya meluangkan lebih banyak masa untuk mempelajari sejarah menerusi pelbagai sumber yang tersedia, termasuk mendampingi tokoh-tokoh sejarah yang masih hidup bagi mendapatkan gambaran dan pengalaman secara langsung.
“Sekarang terlalu banyak sumber. TikTok, internet, e-pembelajaran dan macam-macam lagi. Terlalu banyak sumber, cuma mereka kena luangkan masa untuk memahami bidang tersebut,” katanya.

Sementara itu, Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Selandar muncul juara Pertandingan Kuiz Sejarah dan Patriotisme Peringkat Kebangsaan 2026 selepas memperoleh 20 markah pada peringkat akhir.
Sebagai juara, pasukan berkenaan menerima wang tunai RM2,500, plak, sijil serta Piala Pusingan Aminuddin Baki.
SMJK Chung Ling menduduki tempat kedua dengan 16 markah dan menerima wang tunai RM2,000, plak serta sijil.
Tempat ketiga pula disandang SM Sains Tuanku Jaafar dengan 15 markah, yang menerima wang tunai RM1,500, plak dan sijil, manakala SM Sains Kota Tinggi menduduki tempat keempat dengan 13 markah dan menerima wang tunai RM1,000, plak serta sijil.
Peserta kuiz terbaik pula ialah Anis Maisarah binti Qadafie dari Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Selandar.-PAHANGMEDIA

