Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 03 SEPTEMBER 2026 : Plaza Tol Pelabuhan Kuantan di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) akan mula beroperasi dan dibuka kepada semua pengguna lebuh raya pada jam 6 pagi esok.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pembukaan plaza tol berkenaan merupakan satu lagi perkembangan penting di negeri ini, khususnya dalam memperkukuh jaringan pengangkutan dan menarik lebih ramai pelabur ke Pahang.
“Sebelum itu, saya ucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan, terutamanya Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Ekonomi yang telah membantu banyak untuk kita merealisasikan supaya persimpangan bertingkat Pelabuhan Kuantan ini dapat disiapkan dalam masa yang ditetapkan,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pembukaan Persimpangan Bertingkat Pelabuhan Kuantan, LPT2, di sini hari ini.
Majlis turut dihadiri Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Ekonomi, YB Dato’ Sri Mohd Shahar Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim serta barisan ketua-ketua jabatan.

YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy juga berkata, jaringan pengangkutan yang lebih baik akan memberi kebaikan, kemudahan dan keselamatan kepada pelabur, sekali gus membantu menarik lebih banyak pelaburan ke negeri ini.
“Jaringan pengangkutan ini akan menarik lebih ramai pelabur untuk datang ke negeri Pahang kerana kita sekarang ini memang memberi tumpuan kepada infrastruktur supaya ianya boleh memberi kebaikan, kemudahan dan keselamatan kepada pelabur-pelabur.
“Lebih-lebih lagi kita dalam perancangan untuk memperbesarkan Pelabuhan Kuantan dan juga Bandar Aeroangkasa di Gebeng yang berhampiran dengan persimpangan pelabuhan ini. Dan ini lagi satu kejayaan untuk negeri Pahang,” katanya lagi.
Menurutnya lagi, pembukaan lebuh raya berkenaan yang menelan kos sekitar RM146 juta itu sekali gus memudahkan akses bagi perjalanan domestik dan komersial ke Pelabuhan Kuantan, selain melancarkan perjalanan dari arah Terengganu ke Kuantan dan sebaliknya.

Sementara itu, YB Datuk Seri Dr. Ahmad berkata, kutipan tol di Plaza Tol Pelabuhan Kuantan akan bermula esok pukul 6 pagi, selaras dengan pembukaan kemudahan berkenaan kepada pengguna lebuh raya.
“Nampaknya tak berlaku (tol percuma) sebab tolnya akan mula dikutip esok pukul 6 pagi,” katanya memaklumkan kadar tol bagi LPT1 dan LPT2 ketika ini masih lebih rendah berbanding lebuh raya lain, iaitu 9.8 sen bagi setiap kilometer berbanding 11.4 sen bagi setiap kilometer di tempat lain.
Persimpangan Bertingkat Pelabuhan Kuantan merupakan sebahagian daripada pembangunan Jalan KPC Port Link yang dilaksanakan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) bagi menyediakan akses terus antara LPT2 dengan Pelabuhan Kuantan, Taman Industri Kuantan Malaysia-China (MCKIP), Kuantan Port City serta kawasan pembangunan utama di sekitarnya.
Persimpangan berkonsepkan reka bentuk trumpet itu boleh diakses dari kedua-dua arah, iaitu dari Kuala Terengganu dan Kuantan, serta dijangka menjimatkan masa perjalanan sehingga 30 minit berbanding penggunaan jalan sedia ada, selain membantu mengurangkan kesesakan di Jalan Persekutuan FT3 dan jalan-jalan utama sekitar Gebeng serta Pelabuhan Kuantan.
Pembukaan akses baharu itu turut menyokong pertumbuhan kluster industri, perdagangan dan logistik membabitkan Pelabuhan Kuantan, MCKIP, kawasan perindustrian Gebeng dan Bandar Pelabuhan Kuantan.-PAHANGMEDIA

