Oleh : Nur Saadah Artika
Foto : Farizul Hafiz Awang
JERANTUT, 03 SEPTEMBER 2026 : Penduduk daerah Jerantut diberi tempoh sebulan mulai 1 hingga 30 September ini untuk mengemukakan pandangan, cadangan penambahbaikan atau bantahan terhadap Draf Rancangan Tempatan Daerah Jerantut, Pahang 2040 (Penggantian).
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, penyertaan awam amat penting bagi memastikan perancangan pembangunan daerah itu mengambil kira kepentingan penduduk, khususnya mereka yang mempunyai tanah di kawasan yang dicadangkan untuk pembangunan.
“Hari ini kita mengadakan satu program publisiti dan penyertaan awam Draf Rancangan Tempatan Tahun 2040 dan publisiti ini sangat penting kerana kita nak melihat keterlibatan seluruh agensi-agensi, jabatan-jabatan, terutamanya penduduk-penduduk yang melibatkan tanah-tanah di kawasan-kawasan yang kita nak bangunkan ini.
“Supaya mereka sama-sama melibatkan diri untuk merancang masa depan kawasan yang kita akan bangunkan untuk kawasan mereka ini. Dan kalau ada yang ingin membuat pandangan, penambahbaikan atau bantahan, bolehlah buat demikian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Daerah Jerantut, Pahang 2040 (Penggantian), di Majlis Daerah Jerantut, hari ini.
Menurut beliau, maklumat berkaitan draf berkenaan boleh diteliti di pejabat Majlis Daerah Jerantut selain secara dalam talian, sekali gus membolehkan penduduk menyemak sama ada tanah atau kawasan mereka terlibat dengan cadangan pembangunan yang dirancang.
“Semua ni boleh kita lihat di pejabat-pejabat seperti Majlis Daerah Jerantut dan juga dalam online. Kita boleh lihat di rumah masa waktu malam pun boleh tengok kalau ada tanah tu kita terlibatlah dalam pembangunan atau rancangan draft tempatan ni.
“Jadi saya menyeru lah kepada penduduk tempatan datang untuk memberikan pandangan-pandangan,” katanya.
Mengulas lanjut, penglibatan masyarakat pada peringkat awal amat penting bagi mengelakkan timbulnya isu apabila pembangunan telah dilaksanakan dan sebarang perubahan menjadi lebih sukar serta melibatkan kos yang tinggi.

“Besok, dah siap rumah, baru berbunyi, susah. Benda dah siap, nak buat semula mahal, kuasa tinggi. Jadi kalau lebih eloklah kita beri pandangan sekarang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan antara aspek yang turut diberi perhatian dalam perancangan tersebut ialah usaha memperkukuh sektor pelancongan dan konektiviti Jerantut selaras dengan potensinya sebagai antara pintu masuk ke Taman Negara Pahang.
“Kalau daripada orang luar datang, dengan ada ECRL besok lagi, konektiviti antara kereta api itu boleh melibatkan lebih ramai pelancong datang ke sini. Akses itu penting, jalan raya, kereta api itu penting,” katanya.
Beliau berkata, pembangunan pelancongan bagaimanapun perlu dilaksanakan secara seimbang dengan usaha memelihara khazanah alam dan kawasan yang mempunyai nilai ekologi serta daya tarikan tersendiri.
Justeru itu, penyertaan awam menerusi Draf Rancangan Tempatan Daerah Jerantut 2040 dilihat penting bagi memastikan hala tuju pembangunan daerah bukan sahaja memenuhi keperluan pembangunan, malah mengambil kira kepentingan penduduk serta kelestarian alam sekitar. -PAHANGMEDIA

