Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 04 SEPTEMBER 2026 : Temasya Warisan Pahang yang berlangsung di Muzium Seni Kontemporari (MOCA), Kompleks Muzium Diraja Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, membuka ruang kepada orang ramai mengenali dengan lebih dekat kepelbagaian kraftangan, seni serta masakan tradisional yang menjadi identiti negeri ini.
Berlangsung dari 29 Ogos hingga 7 September, temasya berkenaan menghimpunkan pelbagai pengisian warisan termasuk jualan dan demonstrasi kraf, pertandingan seni, persembahan muzik tradisional serta masakan tradisional dari daerah-daerah di Pahang.
Antara yang menarik perhatian ialah seni kayu hanyut yang diketengahkan pengusaha dari Mentakab, Encik Mokhtaruddin Md Hanif, yang menghasilkan pelbagai produk seperti pasu bunga, ukiran dan lampu tidur menggunakan kayu yang dikutip dari kebun kelapa sawit serta kawasan tepi sungai.

Menurutnya, kegiatan yang bermula sebagai hobi itu kini berkembang menjadi perniagaan dan mendapat sambutan menggalakkan selepas beliau menyertai beberapa festival kraf sebelum ini.
“Saya dijemput untuk buat demo kayu hanyut. Macam peserta lain ada besi. Alhamdulillah, (sambutan) menggalakkan dan ramai yang memberi sokongan sebab apa yang saya buat ni dia ada keunikan dia tersendiri.
“Saya di fahamkan, jarang-jarang jumpa yang macam ini. Kalau ukiran biasa tu memang banyak lah,” katanya ketika ditemui pada temasya berkenaan hari ini.
Selain kraftangan, pengunjung turut berpeluang mengenali kepelbagaian makanan tradisional Pahang menerusi penyertaan pengusaha makanan dari daerah-daerah di negeri ini.
Pengusaha Restoran Saiful Patin Gulai Masam dari Temerloh, Encik Mohd Saiful Samsudin berkata, pihaknya membawa empat menu iaitu Patin Gulai Masam, Gulai Lemak Kulat Sisir, Bubur Liar dan Kuih Koci Leleh untuk diperkenalkan kepada pengunjung.

Katanya, kesemua menu berkenaan merupakan hidangan yang disajikan setiap hari di restorannya, manakala Patin Gulai Masam dan Kulat Sisir Gulai Lemak antara menu yang paling mendapat sambutan.
“Untuk temasya hari ini sahaja, kita buat demonstrasi masakan yang diketuai khas mewakili Daerah Temerloh.
“Saya ucapkan terima kasih kepada pihak penganjur, terutama Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang.
“Saya mengajak kepada semua warga Kuantan, datanglah ke reruai kami untuk merasai sendiri menu-menu yang kami sajikan ini, mempunyai rasa yang unik dan tersendiri, rasa warisan Negeri Pahang,” katanya.
Sementara itu, seramai 22 ahli Puspanita Negeri Pahang turut hadir bagi menyokong program berkenaan selain mengunjungi gerai jualan dan pameran yang disediakan.

Jawatankuasa Biro Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Puan Nurul Aini Syuhada Abdul Manaf berkata, kunjungan itu menjadi antara usaha pihaknya menyokong program yang mengetengahkan warisan dan produk tempatan.
Tambahnya, ahli Puspanita bukan sahaja melihat pameran, malah turut membeli produk serta makanan yang dijual sebagai tanda sokongan kepada pengusaha tempatan.
“Dan adalah di kalangan kami ini yang bawa, bukan datang kosong lah, maknanya keluar daripada gerai tu mesti ada (membeli), maknanya ‘support’ lah program rakyat sini,” ujarnya.
Terdahulu, Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Al-Marhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan menyempurnakan demonstrasi masakan berasaskan bilis dan sup betik pada temasya berkenaan hari ini.
Temasya berkenaan bukan sahaja menjadi medan mengetengahkan keunikan warisan Pahang, malah memberi peluang kepada generasi hari ini mengenali, menghargai dan merasai sendiri khazanah budaya negeri yang diwarisi sejak turun-temurun. -PAHANGMEDIA

