Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 03 SEPTEMBER 2026 : Kerajaan Pahang menyasarkan anak-anak di negeri ini untuk menguasai lebih daripada dua bahasa sebagai nilai tambah bagi meningkatkan daya saing mereka dalam bidang pendidikan dan kerjaya di peringkat global.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, usaha itu termasuk memperluas kursus bahasa di Universiti College of Yayasan Pahang (UCYP) antaranya melibatkan bahasa Mandarin, Tamil dan Rusia.

“Dan sekarang ni kita sedang membuat perancangan untuk memastikan anak-anak Pahang menguasai lebih daripada dua bahasa. Di mana saya telah minta UCYP untuk mengadakan kursus bahasa Tamil atau pun bahasa Mandarin.
“Sebab ni kita nak anak-anak Pahang menguasai lebih daripada dua bahasa. Jadi ini sudah tentu ada nilai tambah kepada anak-anak Pahang yang berbanding dengan mereka yang cuma menguasai satu atau dua bahasa.
“Di situ bukan sahaja Tamil tapi kita juga akan bahasa Mandarin dan sekarang ni UCYP telah pun mengajar mereka-mereka yang berminat dengan bahasa Rusia telah pun kita adakan kursus. Kita nak kembang lagi sebab apa pembangunan pendidikan ini dia tidak boleh ada noktah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Seminar Aspirasi Pahang 1st Matrikulasi di Kolej Matrikulasi Pahang di Gambang hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak; dan Timbalan Menteri Ekonomi yang juga Ahli Parlimen Paya Besar, YB. Dato’ Sri Mohd Shahar Abdullah.
Beliau berkata, penguasaan bahasa tambahan penting bagi mempersiapkan pelajar Pahang menghadapi peluang pendidikan dan kerjaya yang semakin terbuka di peringkat antarabangsa.

Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy, Kerajaan Negeri turut merancang memperluas penghantaran pelajar ke Australia, New Zealand dan negara-negara Barat, selain meneruskan tumpuan terhadap peluang pendidikan di Asia Barat dan Timur Tengah.
“Dan setelah ni kita akan banyakkan pula pelajar-pelajar kita ke Australia atau pun ke negara-negara Barat. Sekarang ni kita lebih memberi tumpuan kepada Asia Barat, di Timur Tengah.
“Walaupun begitu pun tahun ni kita dah mula menghantar pelajar ke New Zealand. Dua pelajar telah kita hantar dan kita akan pertingkatkan lagi di masa-masa yang akan datang,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan Negeri juga sentiasa komited memastikan anak Pahang mendapat peluang pendidikan terbaik selain menyediakan ekosistem yang mampu membuka lebih banyak peluang kerjaya kepada mereka selepas tamat pengajian.
“Anak-anak kita ni sangat bertuah kerana terpilih untuk belajar di Kolej Matrikulasi Gambang dan sudah pastinya Kerajaan Negeri akan membuat yang terbaik.
“Dan kita berharap dan Kerajaan Negeri mendoakan supaya mereka ni satu pemulaan yang baik dan mudah-mudahan pengakhiran pun baik. Dan bila tamat pekerjaan nanti dapat memberikan sumbangan semula kepada Kerajaan Negeri Pahang,” katanya.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri kini menyediakan lebih banyak peluang kepada anak-anak Pahang untuk kembali menyumbang kepada pembangunan negeri selepas menamatkan pengajian dengan projek yang bakal membuka peluang baharu ialah pembesaran Pelabuhan Kuantan, pembangunan bandar East Coast Rail Link (ECRL), serta operasi perkhidmatan kereta api ekspres yang dijangka bermula Januari tahun depan. -PAHANGMEDIA

