Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 31 OGOS 2026 : Hasrat seorang wanita untuk hadir memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan kali ke-69 Peringkat Negeri Pahang bertukar menjadi kenangan manis apabila dia pulang dengan sebuah Proton Saga selepas memenangi hadiah utama cabutan bertuah, hari ini.
Puan Nur Athirah Zainal Abidin, 25, dari Balok berkata, dia sama sekali tidak menyangka kehadirannya bersama suami, anak saudara dan bapa saudara ke Padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) 4, Kemunting, di sini, membawa tuah apabila namanya diumumkan sebagai pemenang.
“Tak sangka, sebab saya tak pernah dapat. Macam cabutan bertuah, yang ringan-ringan pun saguhati, tak pernah dapat. Inilah pertama kali.
“Tadi nak baliklah. Lepas itu suami saya cakap, lepas ini kalau Saga itu dah ada nama orang lain, balik sajalah. Rupanya tak tahu pula nama sendiri naik. Ha, rezeki,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan, di sini hari ini.
Lebih menggembirakan, Puan Nur Athirah berkata, kemenangan itu bukan sahaja menjadi hadiah istimewa sempena sambutan Hari Kebangsaan, malah dapat membantu mengembangkan perniagaan penghantaran kek yang diusahakannya.
“Saya buat meniaga sendiri, macam ‘delivery’ keklah. Bolehlah guna untuk saya meniaga.
“(Sebelum ini) Ada kereta, kereta suamilah, guna kongsi. Jadi selepas ini bolehlah saya gunakan kereta sendiri untuk buat penghantaran,” ujarnya.
Puan Nur Athirah berkata, dua anaknya yang masing-masing berusia empat tahun dan setahun tidak dibawa bersama ke sambutan berkenaan kerana masih kecil.

Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Encik Muhammad Hairi Syahril, 42, dari Taman Inderapura di sini, turut membawa pulang kenangan manis apabila memenangi sebuah Perodua Bezza menerusi cabutan bertuah berkenaan.
Bapa kepada dua anak itu berkata, dia hadir bersama isteri dan anak-anak ke sambutan tersebut bagi menyaksikan anaknya menyertai perarakan sempena Hari Kebangsaan.
“Saya memang tidak sangka. Saya datang dengan family (keluarga), tengok anak ada perarakan. Sebelum ini tak pernah menang,” katanya.
Katanya, Perodua Bezza berkenaan akan diberikan kepada isterinya untuk digunakan bagi urusan keluarga, termasuk menghantar dan mengambil anak-anak dari sekolah.
“Bagi wife (isteri) kot. Urus anak sekolah. Rezeki anak-anak, rezeki orang rumah,” katanya lagi.
Hadiah cabutan bertuah sumbangan Kerajaan Negeri itu disampaikan oleh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail. -PAHANGMEDIA

