Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 31 OGOS 2026 : Sebanyak 12 kelahiran bayi merdeka direkodkan di hospital seluruh Pahang sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-69 hari ini dengan enam bayi lelaki dan enam bayi perempuan dilahirkan.
Menurut satu kenyataan media oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), kelahiran bayi merdeka pertama tahun ini dilahirkan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh tepat pada jam 12.12 tengah malam.

“Bermula jam 12.00 tengah malam 31 Ogos 2026 sehingga 09.00 pagi, sejumlah 12
kelahiran telah direkodkan dengan enam bayi lelaki dan enam bayi perempuan.
“Daripada jumlah tersebut, lima bayi daripadanya dilahirkan secara normal manakala tujuh lagi bayi lahir melalui kaedah pembedahan.

“Kelahiran ‘bayi merdeka’ yang pertama pada tahun ini direkodkan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh, pada jam 12.12 pagi. Bayi lelaki dengan berat 3.68 kilogram itu merupakan cahaya mata kepada pasangan ibu yang bertugas sebagai Penyelia Asrama Sekolah Menengah Agama dan bapa yang bekerja sebagai mekanik,” katanya.
Menurut kenyataan berkenan, jumlah kelahiran tertinggi direkodkan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, diikuti Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh dan Hospital Kuala Lipis masing-masing dua bayi, dan seorang bayi masing-masing di Hospital Pekan dan Hospital Raub.

“Sepuluh bayi merupakan bayi Melayu, manakala seorang lagi berketurunan Orang Asal dan seorang bayi bukan warganegara Malaysia.
“Semua bayi dilaporkan berada dalam keadaan sihat bersama ibu masing-masing,” ujar kenyataan tersebut.
Jabatan Kesihatan Negeri Pahang turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua ibu bapa yang menerima kehadiran cahaya mata baharu pada tarikh yang cukup bermakna buat negara ini. -PAHANGMEDIA

