Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 31 OGOS 2026 : Sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 Peringat Negeri Pahang di Kuantan bukan sahaja meriah dengan kibaran Jalur Gemilang, malah turut diserikan dengan kehadiran keluarga yang mengenakan pakaian bertemakan kemerdekaaan sebagai tanda kecintaan terhadap negara.
Bagi Puan Hasimah Hussin, 65, dari Felda Chegar Perah, Lipis sambutan Hari Kebangsaan tahun ini menjadi pengalaman istimewa apabila beliau pertama kali berpeluang menyaksikan sendiri sambutan di Kuantan bersama anggota keluarganya.

Lebih istimewa Puan Hasimah sekeluarga turut mengenakan pakaian sedondon bertemakan Hari Kebangsaan yang dibeli secara tidak dirancang bagi memeriahkan lagi sambutan pada kali ini.
“Beli (baju) dekat Galeri Batik dekat sini juga (Kuantan). Duduk dekat homestay. Beli baju ni nak bagi nampak sama semua, nampak semangat.
“Pertama kali juga sambut di Kuantan ni. Kena cuti sekolah ni kan, ada anak balik, anak pun cuti, nak jalan-jalan sekalilah.
“Seronok, tak pernah tengok (sambutan Hari Kemerdekaan). Memang tak pernah tengok, tak pernah pergi, dah umur 60 lebih,” katanya.
Bagi Puan Norhafizah Mohammad dari Felda Selancar, pemakaian baju tradisional dalam kalangan anak-anaknya, Nuratikah Mohd Azrulsyahrilsyam,10, dan Nur Jannah, 6, merupakan rutin tahunan keluarganya setiap kali sambutan Hari Kebangsaan.

Menurutnya, pakaian tersebut akan dipakai setiap tahun, sama ada untuk menyertai pertandingan atau sekadar memeriahkan suasana sambutan.
“Baju ni memang buat untuk tema Hari Merdeka. Jadi, mereka memang pakai baju macam ni setiap tahun. Kalau ada pertandingan, mereka masuk, kalau tak ada, pakaikan sahaja.
“Anak-anak semangat nak sambung Hari Merdeka dekat Padang Kemunting. Alhamdulillah, akhirnya dapat juga sampai ke sini,” katanya.
Puan Norhafizah berkata, tahun ini merupakan kali pertama keluarganya menyambut Hari Kebangsaan di Kuantan selepas sebelum ini meraikannya di Segamat, Johor serta Kuala Lumpur dan memilih Kuantan kerana mengambil kesempatan cuti sekolah untuk membawa anak-anak berjalan.
“Ini pertama kali kami datang Kuantan. Kami memang sudah tempah hotel lebih awal sebab perjalanan dari tempat kami agak jauh. Jadi kami ambil peluang untuk tinggal di sini dan berjalan-jalan sekitar Kuantan,” katanya.
Sementara itu, Puan Nadia Illani Baharuddin, 36, dari Kemunting turut membawa dua anaknya yang mengenakan pakaian tradisional yang merupakan pakaian lama milik abangnya.

Katanya, anaknya sendiri teruja untuk mengenakan pakaian tersebut sejak awal pagi bagi memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan pada hari ini.
“Baju ini memang sudah ada, baju abang dia dahulu. Saya memang nak bawa anak pakai baju ini supaya lebih bersemangat hari ini.
“Mereka bangun awal untuk pakai baju ini. Memang nampak semangat nak sambut Merdeka,” katanya.
Kehadiran kesemua keluarga ini membuktikan sambutan Hari Kebangsaan terus menjadi wadah menyatukan masyarakat tanpa mengira usia, selain menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda dan keluarga. -PAHANGMEDIA

