Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
MARAN, 28 OGOS 2026 : Kerajaan Negeri Pahang terus mempergiat pelaksanaan projek infrastruktur berskala besar termasuk penggantian paip air dan pembangunan grid Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi memastikan keperluan asas rakyat dipenuhi, selain menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek penggantian paip air di Maran bernilai RM11.7 juta itu merupakan antara usaha berterusan kerajaan menyelesaikan masalah bekalan air yang sebelum ini dihadapi penduduk di kawasan berkenaan.

Menurut beliau, sebanyak empat daerah kini telah mencapai penyelesaian masalah bekalan air melebihi 90 peratus iaitu Lipis, Raub, Cameron Highlands dan Kuantan, manakala Maran dijangka menyusul selepas ini.
“Dahulu, kawasan ini menghadapi masalah bekalan air, tetapi hari ini kita telah berjaya menyelesaikannya. Ini membuktikan bahawa insya-Allah, 90 peratus masalah air di Pahang akan cuba kita selesaikan.
“Sebanyak empat daerah telah berjaya diselesaikan melebihi 90 peratus iaitu Lipis, Raub, Cameron Highlands dan Kuantan. Insya-Allah, Maran pula akan menyusul,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut meninjau projek grid 500 kW TNB yang berpusat di Kampung Awah, Maran, yang merupakan antara komponen penting dalam sistem grid tenaga negara.
“Saya telah meninjau satu projek Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi grid 500 kW yang mana ibu atau pusat utamanya terletak di Kampung Awah, Maran. Ini merupakan jantung bagi talian grid di seluruh negara dan melibatkan projek bernilai RM350 juta untuk menara sahaja,” katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan projek-projek mega seperti penggantian paip air dan pembangunan grid TNB bukan sahaja memberi manfaat secara langsung kepada rakyat, malah mampu meningkatkan daya tarikan Pahang sebagai destinasi pelaburan.

“Ini merupakan projek-projek pembangunan mega yang saya kira memberi keuntungan kepada negeri Pahang, dan sudah tentu akan menarik lebih ramai pelabur ke sini.
“Selain itu, kita mempunyai tiga lagi projek mega, iaitu Pelabuhan Kuantan, Lapangan Terbang Antarabangsa, serta projek East Coast Rail Link (ECRL) yang dijangka siap pada penghujung tahun ini. Kesemua projek ini akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar I, YB Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad; dan Timbalan Menteri Ekonomi, YB. Dato’ Sri Mohd Shahar Abdullah. -PAHANGMEDIA

