Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
MARAN, 28 OGOS 2026 : Kerajaan Negeri Pahang akan meneliti secara menyeluruh isu penurunan paras air di Sungai Pahang khususnya di sekitar Kampung Pesagi yang dilaporkan berlaku sejak lebih tiga tahun lalu.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Negeri telah meminta laporan lengkap daripada pihak daerah berkenaan kawasan terjejas sepanjang kira-kira enam kilometer sebelum perkara berkenaan dibawa ke Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri untuk penelitian dan tindakan lanjut.
“Buat masa ini, saya telah meminta laporan daripada pihak daerah dan akan membawanya ke Mesyuarat Exco untuk dikaji serta diteliti bagi tindakan lanjut.
“Sebelum ini kita mungkin mengambil tindakan jangka pendek. Walaupun tindakan jangka pendek dan sederhana telah dilaksanakan, kita mahukan penyelesaian jangka panjang.
“Namun, untuk jangka panjang, kita memerlukan laporan lengkap terlebih dahulu sebelum membuat keputusan di peringkat atasan. Pada hari Rabu ini, kita akan memutuskan kajian dan langkah seterusnya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Negeri turut mengambil maklum cadangan penduduk kawasan berkenaan yang sebelum ini memohon supaya proses penyedutan pasir dilaksanakan bagi membantu menangani masalah tersebut.
Beliau berkata perkara berkenaan telah pun dibawa kepada pihak Kerajaan Persekutuan untuk mendapatkan pertimbangan dan keputusan selanjutnya.
“Kita telah panjangkan perkara ini kepada pihak Persekutuan. Kita berharap pihak Persekutuan dapat membuat keputusan yang menguntungkan Kerajaan Negeri,” katanya. -PAHANGMEDIA

