Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Shahrizar Adzhar
KUANTAN, 28 OGOS 2026 : Kerajaan Pahang berhasrat menjadikan Pahang STEM Competition sebagai platform bertaraf antarabangsa bagi melahirkan generasi pencipta teknologi, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada pelajar negeri ini untuk bersaing di pentas global.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib berkata, perkara tersebut telah dibincangkan secara bersama dengan pihak Jabatan Pendidikan Negeri Pahang dan Pahang Skills Development Center (Pahang Skills).
Katanya, langkah itu penting bagi memberi pendedahan awal kepada pelajar dan guru mengenai tahap persaingan global, selain membina keyakinan mereka untuk membawa nama Pahang ke peringkat lebih tinggi.

“Saya ada bincang dengan Jabatan Pendidikan Negeri dan juga Pahang Skills. Sebenarnya kita nak gunakan platform Pahang STEM Competition ini supaya adik-adik dapat dilatih, diberi pendedahan supaya adik-adik dan guru-guru dapat bersaing di peringkat antarabangsa.
“Kalau boleh, kita nak pertandingan-pertandingan yang ada di Pahang STEM Competition ini mirip apa yang dipertandingkan di arena antarabangsa. Dan pelajar-pelajar kita boleh sebenarnya bersaing di peringkat antarabangsa,”katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Pahang STEM Competition 2026 Peringkat Negeri Pahang di Pahang Skills Development Centre, di sini hari ini.
Beliau berkata, kemampuan pelajar dari sekolah luar bandar Pahang menembusi pertandingan antarabangsa membuktikan lokasi dan kemudahan bukan penghalang untuk melahirkan bakat STEM yang berdaya saing.

Beliau memberi contoh kejayaan Sekolah Kebangsaan Permatang Keledang yang pernah bersaing dengan pelajar dari Korea Selatan dan New Zealand sebelum meraih pingat emas, sekali gus membuktikan pelajar Pahang mampu berdiri sama tinggi dengan peserta dari negara yang lebih maju dalam bidang teknologi.
“Kalau ikut logik, mungkin kita fikir pelajar luar bandar tidak mampu bersaing dengan pelajar Korea yang mempunyai banyak kelebihan dari segi kemudahan dan teknologi, tetapi pelajar kita membuktikan sebaliknya,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan lebih ramai pelajar Pahang menyertai pertandingan antarabangsa dan memberi jaminan akan cuba membantu peserta yang layak, khususnya dalam menangani kekangan kewangan.

Dalam pada itu, beliau berkata, Pahang STEM Competition 2026 menghimpunkan hampir 1,000 peserta termasuk 526 murid yang mengambil bahagian secara langsung dalam tujuh cabaran utama iaitu Robot Battle, Drone Challenge, Bridge Building Challenge, Innovator of Tomorrow, Water Rocket Challenge, Talent Show dan Gaming Code.
Tambahnya, penganjuran pertandingan itu yang menerima peruntukan RM500,000 menerusi Belanjawan Negeri Pahang 2026 membuktikan komitmen kerajaan negeri terhadap pembangunan modal insan serta penguasaan STEM dalam kalangan generasi muda.
Menurutnya lagi, Pahang perlu bergerak daripada sekadar menjadi pengguna teknologi kepada pencipta dan pengeksport teknologi, selaras dengan perkembangan pesat kecerdasan buatan, automasi, robotik, data dan teknologi digital.
“Kita nak menjadi pengeksport teknologi, bukan sekadar penerima teknologi. Kalau boleh, satu hari nanti kita cipta sesuatu seperti telefon pintar sehingga orang lain pula beratur untuk membeli produk ciptaan Pahang atau Malaysia,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

