Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 27 OGOS 2026 : Kerajaan Pahang sentiasa mengutamakan agenda pembangunan wanita dan pengukuhan institusi keluarga sebagai komponan penting dalam memastikan kesejahteraan rakyat serta pembangunan negeri yang inklusif.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan, pelbagai pencapaian dan inisiatif telah dilaksanakan sepanjang tahun 2026 menerusi kerjasama pelbagai agensi dan pemegang taruh.
“Sepanjang tahun 2026, khususnya bagi tempoh separuh pertama tahun, beberapa pencapaian utama telah dilaksanakan melalui kerjasama pelbagai agensi dan pemegang taruh.
“Antaranya, memperkasa kepimpinan dan potensi wanita melalui pelaksanaan program pembangunan kapasiti, kepimpinan, keusahawanan serta peningkatan kemahiran wanita agar lebih berdaya saing dan mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri,” katanya.
Menurut beliau, antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk Program WANDA: Wanita Digital Anggun di Parlimen Jerantut dan Bera; Program Suritekno: Ke Arah Suri Rumah Celik Digital; Program SRIWANI 360; Program SRIWANI 360; Program Jelajah Semaian Kasih Komuniti; Program Konvensyen Wanita Pahang Tahun 2026; Program Gurutekno: Memperkasa Guru dalam Era Teknologi Pintar; Program Sinar Hidayah: Pembangunan Psikospiritual Mualaf Wanita; dan Program BOLD: Future-Ready Young Leaders.
Dalam pada itu, beliau berkata, pelaksanaan inisiatif tersebut mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri bagi memastikan wanita Pahang menjadi pemangkin utama kepada pembangunan dan kesejahteraan negeri.
“Kesemua inisiatif ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan wanita Pahang bukan sahaja menjadi penerima manfaat pembangunan, malah turut berperanan sebagai penggerak, pemimpin dan rakan strategik dalam pembangunan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayab, YB. Tuan Khaizulnizam Mohamad Zuldin, pada Mesyuarat Kedua Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini. -PAHANGMEDIA

