Oleh : Zeti Akhtar Lokman
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 27 OGOS 2026 : Kerajaan Negeri Pahang telah memuktamadkan beberapa komitmen pelaburan berimpak tinggi di sepanjang koridor Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), merangkumi projek infrastruktur mega, hab logistik, dan pusat data teknologi terkini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib berkata, pelaburan itu melibatkan stesen-stesen utama di daerah Kuantan antaranya termasuk cadangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan berhampiran stesen ECRL Cherating, hab komersial di stesen KotaSAS, serta hab logistik PERODUA dan projek Fire Phoenix Data Centre di stesen Paya Besar.
Menyentuh mengenai perancangan di daerah Pahang, YB Dato’ Mohamad Nizar berkata, Stesen ECRL Bentong dirancang bagi pembinaan Terminal Bersepadu Bentong serta perumahan Pangsapuri PahangKu manakala bagi Stesen ECRL Temerloh, cadangan pembangunan merangkumi pembinaan Inland Port, laluan pintasan, serta kerja-kerja menaik taraf persimpangan dan lampu isyarat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).
Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa pembangunan di kedua-dua stesen berkenaan masih berada pada peringkat perancangan awal dan belum merekodkan sebarang pelaburan rasmi.
“Namun begitu, saya ingin tegaskan bahawa cadangan pembangunan di Bentong dan Temerloh ini masih belum melibatkan komitmen pelaburan yang dimuktamadkan, masih dalam rundingan, dan setakat ini belum terdapat rekod pelaburan langsung domestik mahupun asing bagi projek-projek tersebut,” katanya.
“Kerajaan Negeri akan pastikan pembangunan di sekitar ECRL ini bukan sahaja membangunkan infrastruktur, malah turut menjadi pemangkin kepada pelaburan, aktiviti ekonomi, dan peluang pekerjaan kepada rakyat Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, YB Dato’ Haji Andansura Rabu pada pada Mesyuarat Kedua Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini. -PAHANGMEDIA

