Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 27 OGOS 2026 : Kerajaan Negeri Pahang telah memperuntukkan sebanyak RM3.5 juta bagi pelaksanaan tiga liga sukan pada tahun ini sebagai dalam usaha menggalakkan penglibatan rakyat dalam aktiviti sukan dan rekreasi.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Fadzli Mohamad Kamal, Kerajaan Negeri telah membelanjakan peruntukan yang besar bagi pelaksanaan tiga liga suka iaitu Liga Bola Sepak Rakyat Pahang 1st Piala Al-Sultan Abdullah, LigaBola Jaring Pahang 1st dan Sepak Takraw League (STL) Pahang 1st Piala Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang.
“Kerajaan Negeri membelanjakan peruntukan yang cukup besar untuk pelaksanaan tiga sukan ini dimana untuk Liga Bola Sepak Rakyat Pahang 1st sebanyak RM2 juta; Liga Bola Jaring Pahang 1st sebanyak RM1 juta; dan Sepak Takraw League (STL) Pahang 1st sebanyak RM500,000.
“InsyaAllah, selepas ini Kerajaan Negeri Pahang merancang untuk melaksanakan program Liga Bola Sepak bawah umur 17 tahun, 15 tahun, 12 tahun,10 tahun dan lapan tahun, oleh kerana program ini dapat sambutan cukup baik dikalangan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jenderak, YB. Dato’ Rodzuan Zaaba, pada Mesyuarat Kedua Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang kini giat melaksanakan program Menawan 11 Puncak di 11 daerah di negeri ini yang mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat.
Katanya, program yang julung-julung kali dianjurkan itu mendapat sambutan yang amat menggalakkan, malah turut menarik penyertaan daripada peserta luar Pahang.
“Penyertaannya sentiasa penuh untuk setiap daerah yang mana orang luar Pahang turut mengambil bahagian untuk menyertai acara yang julung-julung kali diadakan ini.
“Selain kita menggalakkan aktiviti sihat, kita juga menggalakkan dan merancakkan aktiviti pelancongan di Negeri Pahang,” katanya.
Di samping itu, beliau turut menyatakan bahawa sambutan terhadap aktiviti sukan dan rekreasi turut dapat dilihat di Stadium Darul Makmur (STDM) yang kini menjadi tumpuan masyarakat untuk melakukan pelbagai aktiviti kecergasan.
“Di peringkat Stadium Darul Makmur sekarang sudah jadi fenomena orang berlari, berzumba, brisk walk dan hyrox di Stadium Darul Makmur satu keadaan yang tidak pernah berlaku.
“Menunjukkan bahawa program-program sukan dan rekreasi dilaksanakan di bumi Pahang ini mendapat sambutan yang cukup baik ketika ini.
“Selain program saya sebutkan tadi, banyak program-program sedia ada yang dilaksanakan di peringkat Majlis Sukan Pahang, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang dan Majlis Rekreasi Pahang giat dilaksanakan setiap bulan di bumi Pahang ini untuk menggalakkan gaya hidup sihat dikalangan rakyat khususnya orang muda,” katanya. -PAHANGMEDIA

