Oleh : Syafiqah Jamaluddin
SELANGOR, 14 OGOS 2026 : Atlet berbasikal (MTB) Pahang, Tengku Mukhriz Tengku Mansor meraih pingat perak dalam acara Downhill Individu Lelaki pada Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 di Lembah Peladang Agro Park, dengan catatan masa 1 minit 59 saat ,di sini hari ini.
Pingat emas menjadi milik Negeri Sembilan menerusi catatan 1 minit 58 saat, manakala gangsa diraih atlet Sabah dengan masa 2 minit 04 saat.
Mengulas pencapaiannya, beliau mengakui sedikit kecewa dengan keputusan berkenaan selepas sebelum ini berjaya meraih emas pada SUKMA Sarawak.

“Pertama kali memang saya rasa amat kecewa sebab tahun lepas punya SUKMA Sarawak, saya dapat emas, tapi kali ini rezeki tidak menyebelahi Pahang,” katanya.
Menurutnya, antara cabaran utama dalam perlumbaan hari ini ialah keadaan cuaca apabila hujan menyebabkan permukaan trek menjadi lebih mencabar.
“Cabaran untuk saya hari ini sebab cuaca, hari ini hujan. Jadi, trail dalam kawasan itu sangat hancur sedikit sebab ramai rider yang dah lalui,” katanya.
Beliau bagaimanapun menjadikan keputusan itu sebagai pembakar semangat untuk terus memperbaiki prestasi, termasuk menyasarkan tempat dalam pemilihan ke Sukan SEA tahun hadapan.
“Dalam bulan yang terdekat ini ada selection untuk pergi Sukan SEA tahun depan. Jadi, saya akan cuba untuk dapatkan tempat untuk Sukan SEA,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pahang, Majlis Sukan Pahang, penaja serta ibu bapanya atas sokongan yang diberikan sepanjang penyertaannya.
Pingat perak tersebut sekali gus menyaksikan beliau terus membawa nama Pahang dalam saingan MTB pada temasya SUKMA XXII Selangor 2026. -PAHANGMEDIA

