Oleh: Nur Saadah Artika
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUALA LUMPUR, 10 OGOS 2026 : Kerjasama strategik antara YP Advanced Skills Sdn. Bhd. (YPAS) dan Global Facillities Management Sdn. Bhd. (GFM) menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) membuka peluang lebih luas kepada golongan belia Pahang untuk mengikuti latihan kemahiran sebelum diserap ke sektor pekerjaan yang memenuhi keperluan industri.
MoU berkenaan telah ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang merangkap Pengarah Urusan YP Advanced Skills, YH Dato Indera Mahmud Mohd Nawawi dan Pengarah Urusan Kumpulan GFM Services Berhad, YBhg. En. Ruslan Nordin.

Ianya juga telah disaksikan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, menjadi antara usaha memperkukuh agenda Kerajaan Negeri Pahang dan Yayasan Pahang dalam memperkasa anak negeri, khususnya golongan belia.
Pegawai Eksekutif YP Advanced Skills, Muhammad Nur Hassan Mohamad Rosli berkata, kerjasama itu memberi peluang kepada peserta Program Jaminan Kerjaya mengikuti latihan berasaskan kompetensi yang diperlukan industri sebelum ditempatkan di sektor pekerjaan sebenar.
“Melalui memorandum persefahaman ini, kita akan wujudkan satu kerjasama strategik bersama GFM Services Berhad di mana kita di YP Advanced Skills ada melakukan satu program iaitu Program Jaminan Kerjaya di mana di situ kita train and place, kita latih student dengan kompetensi yang sedia ada diperlukan oleh industri dan kita tempatkan mereka ke industri yang sebenar,” katanya.

Menurut beliau, kerjasama bersama GFM itu turut memberi nilai tambah kepada Program Jaminan Kerjaya kerana peserta yang mengikuti latihan mempunyai laluan lebih jelas untuk memasuki alam pekerjaan selepas memperoleh kompetensi yang diperlukan.
“Untuk anak muda akan datang yang join ataupun memasuki Program Jaminan Kerjaya ini, selepas sudah bekerjasama bersama GFM ini, cuma tinggal kepada mereka untuk join sahaja Program Jaminan Kerjaya ini.
“Itu adalah harapan daripada YP Advanced Skills untuk anak-anak Pahang yang ada dan sekaligus dapat membantu Kerajaan Negeri Pahang untuk mengurangkan lagi kadar pengangguran di Negeri Pahang sendirilah,” katanya.
Menerusi kerjasama itu, YPAS akan melaksanakan latihan kemahiran yang melengkapkan peserta dengan pengetahuan teori dan kemahiran praktikal melalui bimbingan tenaga pengajar berpengalaman serta pemantauan secara berjadual bagi memastikan mereka mencapai kompetensi yang diperlukan industri.
Inisiatif berkenaan bukan sahaja memberi ruang kepada belia Pahang memperoleh kemahiran yang relevan dengan kehendak pasaran pekerjaan, malah menyediakan laluan daripada latihan kepada pekerjaan sebenar menerusi pendekatan train and place.
Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Pahang, YB Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Dato’ Fadzli Mohamad Kamal; Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Pahang, YH Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin serta barisan ketua-ketua jabatan. -PAHANGMEDIA

