Oleh: Zeti Akhtar Lokman
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 30 JULAI 2026 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berharap Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang (UNIQSAAS) berada di landasan terbaik bagi mencapai aspirasi menjadi universiti bertaraf dunia.
Baginda bertitah, penjenamaan semula Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UNIPSAS) kepada UNIQSAAS adalah usaha meneruskan legasi yang dibina sejak 30 tahun lalu.
Titah baginda lagi, usaha berkenaan adalah kesinambungan legasi yang dibina oleh kepimpinan terdahulu termasuk mantan Pengerusi UNIPSAS, Tan Sri Adnan Yaakob serta Almarhum ayahanda baginda, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

“Terlebih dahulu saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana dapat meneruskan legasi Paduka Almarhum Ayahanda saya.
“Hari ini, kali ini saya hanya memanjangkan legasi itu bagi meningkatkan anjakan paradigma universiti ini ke satu lagi tahap supaya universiti ini akan menjadi satu permata buat negeri Pahang dan rakyat Pahang,” titah Baginda ketika berkenan menyempurnakan istiadat pemasyhuran UniQSAAS di Auditorium universiti hari ini.
Mengimbas sejarah penubuhannya, institusi berprestij ini telah melalui perjalanan panjang selama tiga dekad bermula sebagai Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KIPSAS), sebelum dinaik taraf kepada Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS), seterusnya UNIPSAS dan kini dimasyhurkan sebagai UNIQSAAS.
Dalam pada itu, Baginda turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah berbakti dan menyumbang dalam tadbir urus universiti berkenaan sejak penubuhannya.
“Tidak lupa juga kepada ahli-ahli lembaga yang terdahulu dan kini atas menjalankan tugas memakmurkan perjalanan pentadbiran universiti ini ketika dahulu, selama 30 tahun,” titah Baginda.
Sebelum mengakhiri titah, Baginda berpesan kepada seluruh kepimpinan dan barisan pentadbir universiti agar memastikan perjalanan institusi ini sentiasa berada pada landasan terbaik, sekali gus terus memperkukuh peranannya sebagai institusi pendidikan tinggi Islam unggul di negeri Pahang. – PAHANGMEDIA

