Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 30 JULAI 2026 : Negeri Pahang melakar sejarah apabila menjadi negeri pertama di negara ini yang memiliki sebuah universiti al-Quran menerusi Majlis Pemasyhuran Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang (UNIQSAAS), di sini hari ini.
Majlis pemasyhuran berkenaan telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah di Kampus UNIQSAAS.

Keberangkatan Paduka Baginda diiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Al-Marhum Sultan Iskandar Al-Haj bersama Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut mengiringi Paduka Baginda ialah YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir; Timbalan Menteri Ekonomi, YB Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah; Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan.

YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar yang juga Pengerusi Sistem Pendidikan Islam Pahang Sdn. Bhd. (SPIPSB), dalam sembah ucapannya berkata pemasyhuran UNIQSAAS merupakan detik bersejarah yang mencerminkan komitmen berterusan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dalam memperkukuh pembangunan modal insan berteraskan al-Quran, selaras dengan aspirasi melahirkan generasi berilmu, berakhlak mulia dan berdaya saing.
“Penubuhan UNIQSAAS merupakan manifestasi visi jauh Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku dalam memartabatkan pendidikan berteraskan al-Quran sebagai asas pembinaan modal insan yang berilmu, berakhlak mulia dan berdaya saing.

“Selaras dengan aspirasi tersebut, Kerajaan Negeri Pahang terus komited memperkukuh pendidikan Islam melalui pembangunan prasarana, pemantapan akademik serta penerapan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran,” katanya.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM20 juta bagi menyokong pembangunan UNIQSAAS agar terus berkembang sebagai institusi pendidikan tinggi Islam yang unggul, selain menyalurkan RM150,000 sebagai peruntukan awal bagi melaksanakan gerak kerja penubuhan universiti berkenaan.

“Transformasi ini turut diperkukuh melalui kerjasama strategik bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam membentuk hala tuju pembangunan universiti.
“Hasilnya, UNIQSAAS kini berkembang sebagai sebuah universiti yang meletakkan al-Quran sebagai teras pembangunan ilmu, penyelidikan, inovasi dan pembinaan tamadun, di samping terus menawarkan pelbagai program profesional yang memenuhi keperluan semasa,” ujarnya.
Beliau berkata, pemasyhuran UNIQSAAS bukan sekadar melambangkan perubahan nama atau status sesebuah institusi, malah menjadi lonjakan besar dalam sejarah pendidikan tinggi Islam di Negeri Pahang serta membuka lembaran baharu ke arah pembentukan sebuah universiti unggul dalam pengajian al-Quran, penyelidikan dan pembangunan modal insan berteraskan nilai-nilai Islam.

“Semoga UNIQSAAS terus melakar kecemerlangan sebagai institusi pengajian tinggi Islam yang unggul, menjadi pusat rujukan ilmu al-Quran yang dihormati serta menyumbang secara signifikan kepada pembangunan agama, bangsa, negeri dan negara.
“Patik juga menzahirkan harapan agar pemasyhuran yang penuh bersejarah ini menjadi pemangkin kepada kebangkitan baharu pendidikan al-Quran di Negeri Pahang, sekali gus mengukuhkan kedudukan negeri ini sebagai peneraju pendidikan al-Quran di Malaysia dan di persada antarabangsa, insya-Allah,” katanya lagi.
Pada majlis sama, Paduka Baginda turut berkenan melancarkan Al-Quran Kerajaan Negeri Pahang serta mengisytiharkan pelantikan Canselor UNIQSAAS. Baginda turut melantik YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan YAB Menteri Besar Pahang sebagai Pro-Canselor UNIQSAAS bagi memperkukuh tadbir urus universiti berkenaan. — PAHANGMEDIA

