Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 20 JULAI 2026 : Dakwaan kononnya wujud pertikaian tanah melibatkan masyarakat Orang Asli di Kampung Cot, Mukim Luit, Daerah Maran adalah tidak tepat dan tidak menggambarkan keadaan sebenar.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, penempatan berkenaan sebenarnya merupakan sebuah kampung serpihan yang tidak berdaftar dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
Beliau berkata Kerajaan Negeri Pahang akan menangani sebarang isu atau pertikaian yang timbul secara berhemah, berlandaskan undang-undang serta melalui pendekatan libat urus bagi mencari penyelesaian yang terbaik demi kepentingan semua pihak.
“Kerajaan Negeri Pahang ingin menjelaskan bahawa dakwaan berhubung wujudnya pertikaian tanah melibatkan Orang Asli di Kampung Cot, Mukim Luit, Daerah Maran adalah tidak seperti yang digambarkan oleh sesetengah pihak. Kenyataan yang tular tidak menggambarkan keseluruhan fakta dan latar belakang sebenar kes ini.
“Merujuk kepada Kampung Cot, Maran, penempatan tersebut merupakan sebuah kampung serpihan yang tidak berdaftar dengan JAKOA. Berdasarkan rekod JAKOA, terdapat 12 penama Orang Asli yang mengusahakan tanah di kawasan berkenaan, selaras dengan tuntutan bertulis yang dikemukakan oleh mereka sendiri kepada jabatan tersebut.
“Pada masa yang sama, tanah berkenaan telah dipohon oleh sebuah syarikat dan permohonannya telah diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri melalui keputusan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Ke-32/2015 bertarikh 4 November 2015,” katanya.
Menurut beliau, terdapat beberapa siri perbincangan telah dijalankan di antara pihak JAKOA bersama Orang Asli terlibat bagi mencari penyelesaian berkenaan pertindihan tuntutan dengan syarikat berkenaan.
“Bagi menangani isu yang timbul, JAKOA telah mengadakan beberapa siri perbincangan bersama penama Orang Asli yang terlibat bagi mencari penyelesaian terhadap pertindihan tuntutan antara mereka dengan syarikat yang telah menerima kelulusan tersebut. Hasil perbincangan awal mendapati hanya enam penama masih meneruskan tuntutan melalui JAKOA.
“Dalam sesi perbincangan tersebut, penama terbabit mendakwa kawasan berkenaan merupakan tanah adat mereka. Walau bagaimanapun, dakwaan tersebut tidak dapat disahkan oleh pihak berkuasa yang berkaitan berdasarkan rekod dan fakta yang ada. Rekod juga menunjukkan mereka telah mengusahakan tanaman getah dan kelapa sawit di kawasan seluas kira-kira 30 ekar tanpa kebenaran yang sah.
“Untuk makluman, enam orang penama orang Asli yang masih mengemukakan tuntutan tersebut berasal dari Kampung Orang Asli Paya Besar, Maran; Kampung Orang Askli Paya Bungor, Kuantan; dan Kampung Orang Asli Bukit Rok, Bera, bukannya daripada Kampung Cot,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan Negeri mengambil pendekatan adil dan bertanggungjawab dengan meminta Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Pahang, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Maran meneliti kemungkinan bantuan yang bersesuaian daripada pihak syarikat kepada penama yang terlibat.
“Kerajaan Negeri ingin menegaskan bahawa isu ini telah diberikan perhatian sejak awal melalui pelbagai siri libat urus dan perbincangan bersama semua pihak berkepentingan.
“Setiap tindakan yang diambil adalah berpandukan kepada peruntukan undang-undang, fakta serta prinsip keadilan, di samping memastikan kebajikan masyarakat Orang Asli terus dipelihara tanpa mengenepikan keputusan yang telah dibuat oleh Pihak Berkuasa Negeri.
“Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam memelihara kebajikan, hak serta kepentingan masyarakat Orang Asli melalui kerjasama bersepadu antara Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Pahang, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) serta Pahang Orang Asli Corporation (ORACO),” katanya.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri melalui ORACO turut memperkukuh pembangunan sosioekonomi masyarakat Orang Asli dan bukan sahaja memberi perhatian kepada aspek pemilikan tanah semata-mata.
“Komitmen tersebut terbukti melalui keputusan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Ke-29/2017 pada 1 November 2017 yang bersetuju mewartakan 76 kampung Orang Asli di bawah Seksyen 7(1) dan 141 kampung Orang Asli di bawah Seksyen 6(1) Akta Orang Asli 1954 (Akta 134).
“Antara inisiatif yang dilaksanakan ialah pembangunan tanah bagi mewujudkan sumber pendapatan yang mampan kepada masyarakat Orang Asli. Dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini juga, ORACO telah membina sebanyak 300 unit Rumah Rakyat Pahang Orang Asli secara percuma.
“Di samping itu, pelajar Orang Asli yang berjaya melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) turut menerima bantuan komputer riba, manakala Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM2 juta bagi penyediaan bakul makanan kepada masyarakat Orang Asli di seluruh Negeri Pahang. Malah, Kerajaan Negeri juga telah melantik seorang Senator dalam kalangan Orang Asli bagi mewakili kaum itu di Dewan Negara,” katanya.
Tambah beliau lagi, terdapat 264 buah kampung Orang Asli dengan lebih 90,000 orang penduduk berdaftar di seluruh Pahang di mana 30 Kampung Orang Asli (KOA) telah pun selesai diwartakan di bawah Seksyen 6 dan Seksyen 7 Akta Orang Asli 1954 serta Seksyen 62 Kanun Tanah Negara (KTN).
“Selain itu, Kerajaan Negeri turut meluluskan pemberian hak milik kepada masyarakat Orang Asli yang melibatkan 16 buah kampung di bawah Seksyen 76 KTN. Hasil Bengkel Penyelarasan Pewartaan Tanah Rizab Orang Asli Negeri Pahang yang diadakan pada 8 hingga 10 Julai 2026 menunjukkan proses pewartaan terus diperkasakan.
“Selain itu, Kerajaan Negeri turut meluluskan pemberian hak milik tanah kepada masyarakat Orang Asli yang melibatkan 16 kampung di bawah Seksyen 76 Kanun Tanah Negara. Selain itu, hasil Bengkel Penyelarasan Pewartaan Tanah Rizab Orang Asli Negeri Pahang yang berlangsung pada 8 hingga 10 Julai 2026 turut membuktikan bahawa usaha pewartaan tanah Orang Asli terus diperkasakan.
“Ketika ini, sebanyak 75 permohonan pewartaan sedang diproses, dengan 31 permohonan telah lengkap untuk pertimbangan Mesyuarat MMK, manakala 44 permohonan yang melibatkan pertindihan tanah sedang melalui proses penyelesaian. Dalam masa yang sama, sebanyak 143 permohonan lagi berada pada peringkat awal pengukuran oleh JAKOA,” katanya.
Beliau dalam kenyataannya berkata Kerajaan Negeri berharap agar semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi atau mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan masyarakat.
“Sebaliknya, ruang sewajarnya perlu diberikan kepada agensi-agensi berkaitan untuk menyelesaikan isu ini secara profesional, berlandaskan undang-undang dan semangat muafakat demi memastikan hak semua pihak terus dihormati,” katanya. -PAHANGMEDIA

