Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 20 JULAI 2026 : Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan bercemar duli menyempurnakan Majlis Perasmian Klinik Perubatan Sukan UIAM (ISMEC) dan Penamaan Semula Unit Reproduktif Sultan Ahmad Shah Medical Centre (SASMEC) @IIUM (RUS) bersempena Sambutan Ulang Tahun Penubuhan Ke-10 (SASMEC) @IIUM (RUS) di Sultan Ahmad Shah Medical Centre @IIUM.
Keberangkatan Paduka Baginda pada turut diiringi Yang Hormat Mulia Che Puan Panglima Puteri Hajjah Suraiya Afzan binti Dato’ Indera Haji Mohamed Moiz.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang pada pukul 11.24 pagi disambut oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Datoβ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim dan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal.
Dalam majlis tersebut, Unit Reproduktif SASMEC @IIUM (RUS) telah dinamakan semula secara rasmi sebagai Unit Reproduktif Lanjutan Tunku Azizah SASMEC @UIAM (TiARA).

Paduka Baginda bertitah, penjenamaan semula Unit Reproduktif kepada TiARA mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkasa perkhidmatan kesihatan reproduktif.
“Tidak kurang pentingnya ialah penjenamaan semula Unit Reproduktif kepada Unit Reproduktif Lanjutan Tunku Azizah SASMEC @UIAM (TiARA). Saya amat berbesar hati dan berasa rendah diri kerana unit ini kini menggunakan nama saya.
“Bagi saya, amat bermakna untuk menyaksikan hasrat tersebut akhirnya menjadi kenyataan. Saya menganggap pengiktirafan ini bukan sekadar suatu penghormatan peribadi, malah sebagai lambang komitmen bersama dalam memperkasa perkhidmatan kesihatan reproduktif serta menyemarakkan sinar harapan baharu kepada setiap individu dan keluarga dalam merealisasikan impian untuk menimang cahaya mata,” titahnya.

Pada majlis yang sama, Paduka Baginda turut mengurniakan cenderahati kepada keluarga yang berjaya menimang cahaya mata hasil rawatan yang dijalankan di TiARA.
Kemudian, Paduka Baginda turut berkenan bercemar duli mengadakan lawatan ke ISMEC bagi meninjau kemudahan yang ada.
Dalam pada itu, Paduka Baginda bertitah bahawa merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan dan Kementerian Pendidikan Tinggi atas sokongan berterusan terhadap pembangunan SASMEC @UIAM, khususnya menerusi kelulusan pembinaan Wad Psikiatri di bawah Rolling Plan 1, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan dan Kementerian Pendidikan Tinggi atas sokongan berterusan yang diberikan terhadap pembangunan SASMEC @UIAM, khususnya menerusi kelulusan terkini pembinaan Wad Psikiatri di bawah Rolling Plan 1, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Saya juga berasa amat gembira apabila cadangan yang pernah saya kemukakan sebelum ini untuk meningkatkan kapasiti hospital daripada 300 kepada 600 katil telah menerima maklum balas yang positif daripada pihak Kementerian.
“Saya amat berharap agar inisiatif penting ini dapat direalisasikan dalam masa terdekat, sekali gus memperkukuh keupayaan SASMEC @UIAM untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan penjagaan kesihatan pakar, di samping memberikan manfaat yang berkekalan kepada rakyat Negeri Pahang, Malaysia dan masyarakat di peringkat antarabangsa,” titahnya. -PAHANGMEDIA

