Oleh : Syafiqah Jamaluddin
Foto : Farizul Hafiz Awang
RAUB, 18 JULAI 2026 : Program Anggun Suri terus mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan pasangan muda di Pahang apabila membantu meringankan beban kewangan mereka untuk memulakan alam rumah tangga.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, YB Tuan Fadzli Mohd Kamal, berkata Program Anggun Suri yang memasuki tahun keempat penganjurannya melibatkan seramai 140 pasangan pengantin di seluruh negeri menerusi pelaksanaan di 14 kawasan Parlimen, manakala lapan pasangan diraikan pada Program Anggun Suri Peringkat Parlimen Raub, hari ini.

“Inisiatif Anggun Suri ini yang dah berlangsung empat tahun ternyata mendapat sambutan yang cukup baik dalam kalangan pasangan-pasangan muda di negeri Pahang ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan.
Beliau berkata, sambutan yang diterima amat memberangsangkan sehingga terdapat pasangan dari luar Pahang yang turut memohon untuk menyertai Program Anggun Suri.

“Saya sembang-sembang dengan pasangan pengantin, ada pasangan mereka luar daripada Pahang. Nak juga melangsungkan perkahwinan dan nak juga terlibat dengan Anggun Suri. Maknanya memang dapat sambutan Program Anggun Suri ini,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap Kerajaan Negeri dapat mempertimbangkan penambahan peruntukan bagi membolehkan lebih ramai pasangan menikmati manfaat program berkenaan.
“Saya nak mencadangkan kepada Kerajaan Negeri agar lebih ramai lagi pasangan diberi peluang untuk program ini dan lebih besarlah bajet yang diperlukan.
“Kita kena support (sokong), kadang-kadang mereka menghadapi kekangan tertentu dan dalam Islam pun memang digalakkan dan memang dituntut mendirikan rumah tangga,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Aliff Haiqal bin Abdullah bersama pasangannya, Nur Harzelin binti Abdullah berkata Program Anggun Suri banyak membantu mengurangkan beban kewangan mereka apabila hampir keseluruhan kos majlis ditanggung Kerajaan Negeri.
Katanya, mereka pada asalnya merancang untuk melangsungkan perkahwinan pada Disember depan, namun mempercepatkan majlis selepas permohonan mereka berjaya.
“Saya sangat gembira lah disebabkan ada program Anggun Suri ni daripada Kerajaan Negeri ni dapat bantu kita orang punya kewangan.
“Dekat pasangan-pasangan yang sedang merancang untuk berkahwin, saya memang galakkan mereka mohon sebab program ini sangat baik. Memang bagus kerana semuanya disponsor (taja),” katanya.

Bagi pasangan Muhammad Amer Nazri bin Gamzuree dan Nur Aniza binti Andri berkata, mereka mengetahui mengenai Program Anggun Suri menerusi Facebook sebelum mengemukakan permohonan secara dalam talian.
“Saya tahu melalui Facebook. Terus masuk link, lepas tu suruh daftar, terus kita boleh dapat tahu lulus. Terima kasih Tok Wan, sumbangan yang kita dapat ni memudahkan kerja kami,” katanya.
Program Anggun Suri merupakan antara inisiatif Kerajaan Negeri Pahang yang dilaksanakan bagi membantu pasangan muda melangsungkan perkahwinan sekali gus menggalakkan pembinaan institusi keluarga yang harmoni dan sejahtera di negeri ini.- PAHANGMEDIA

