Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 18 JULAI 2026 : Pengukuhan ekonomi negeri yang bergerak seiring dengan pembangunan berpaksikan kebajikan rakyat terus menjadi manifestasi utama Kerajaan Negeri Pahang dalam memastikan negeri ini kekal berada pada landasan terbaik.
Komitmen ini dizahirkan melalui pelaksanaan Inisiatif Makmur Pahang (IM Pahang) yang diteruskan secara konsisten sejak tahun 2021 dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM84.59 juta bagi tahun 2026, meningkat ketara berbanding tahun sebelumnya.
Inisiatif menyeluruh ini merangkumi empat kluster utama iaitu Kluster Pelajar, Kluster B40, Kluster Agama dan Kluster Umum dengan satu matlamat jelas untuk memastikan setiap lapisan rakyat menerima manfaat pembangunan negeri, bermula daripada kelahiran sehingga ke usia emas.
Bagi meraikan setiap kelahiran anak Pahang, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM300 bagi setiap bayi yang dilahirkan melalui Program Permata Makmur, merangkumi tabungan SSPN bernilai RM250 serta barangan bayi bernilai RM50 dengan jumlah keseluruhan RM6.5 juta.
Memasuki alam persekolahan, Kerajaan Negeri memastikan pendidikan menjadi asas pembinaan masa depan melalui Program Tunas Makmur dengan penyediaan kit kelengkapan sekolah percuma kepada murid Tahun 1 di seluruh negeri ini.
Selain itu, peruntukan sebanyak RM2.5 juta disalurkan bagi bantuan buku rujukan dan latihan kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SPM, STPM dan STAM, sekali gus memastikan mereka memiliki akses kepada sumber pembelajaran yang mencukupi.
Usaha berterusan ini membuahkan hasil apabila Pahang berjaya mencatatkan keputusan SPM 2025 sebagai antara yang terbaik di peringkat nasional, manakala STPM pula merekodkan pencapaian tertinggi sejak pelaksanaan sistem pentaksiran semasa.
Sokongan kerajaan tidak terhenti di situ apabila pelajar yang melanjutkan pengajian ke Institut Pengajian Tinggi turut menerima bantuan RM400 seorang, manakala mereka yang melangkah ke alam perkahwinan diberikan insentif RM300 bagi meringankan beban memulakan kehidupan baharu.
Golongan B40 turut diberi perhatian melalui bantuan RM200 kepada petani dan nelayan, selain pelbagai inisiatif lain yang membantu meningkatkan taraf hidup rakyat.
Dalam aspek keagamaan dan kesejahteraan sosial, Kerajaan Negeri menyediakan bantuan RM750 kepada setiap jemaah haji serta pelbagai sumbangan kepada institusi agama dan komuniti setempat.
Bagi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara sehingga ke usia senja, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM1 juta sebagai subsidi pembedahan katarak serta RM5 juta bagi penyediaan kad kesihatan warga emas melalui Program Kasih Makmur.
Kesemua inisiatif ini dilaksanakan dalam keadaan ekonomi negeri yang kukuh dan stabil. Pahang mencatatkan kutipan hasil melebihi RM1 bilion selama empat tahun berturut-turut sejak 2022 hasil tadbir urus yang dinamik, pengukuhan kutipan hasil serta keberkesanan mengawal ketirisan.
Malah, negeri ini turut merekodkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 5.7 peratus, mengatasi kadar nasional 5.1 peratus dengan nilai mencecah RM68.7 bilion, selain berjaya menarik pelaburan komited sebanyak RM18.04 bilion, melepasi sasaran yang ditetapkan.
Kadar pengangguran juga menunjukkan penurunan ketara daripada 16,700 orang (2.2 peratus) pada tahun 2024 kepada 13,800 orang (1.7 peratus) pada suku ketiga 2025, hasil limpahan peluang pekerjaan daripada pelaburan dan pembangunan ekonomi yang pesat.
Jelas bahawa pendekatan Kerajaan Negeri bukan sekadar menumpukan kepada pembangunan fizikal semata-mata, tetapi memastikan kemakmuran tersebut dirasai oleh seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang.
Daripada seorang bayi yang baru dilahirkan, kanak-kanak yang membesar, pelajar yang menuntut ilmu, individu yang membina keluarga, hinggalah warga emas yang menjalani usia senja, semuanya disentuh oleh Kerajaan Pahang.
Ini membuktikan bahawa apa yang dilaksanakan bukan sekadar janji, tetapi realiti yang dapat dilihat dan dirasai oleh rakyat.
Pahang 1st: Rakyat Didahulukan, Kemakmuran Dipertahankan. – PAHANGMEDIA

