Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
CAMERON HIGHLANDS, 18 JULAI 2026 : Seramai 501 warga emas di Pahang telah berjaya menjalani pembedahan katarak menerusi Program Subsidi Pembedahan Katarak Warga Emas di bawah Inisiatif Makmur Pahang (IM Pahang) 2026.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan berkata, Kerajaan Negeri menyasarkan seramai 1,020 penerima bagi program berkenaan pada tahun ini.

“Untuk tahun ini, kita menyasarkan seramai 1,020 orang penerima dan alhamdulillah, sehingga kini seramai 501 orang telah selesai menjalani rawatan.
“Bagi Hospital Sultanah Hajjah Kalsom (HOSHKA) sahaja, seramai 42 penerima akan menerima rawatan menerusi program ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penutupan Karnival Pembedahan Katarak Warga Emas Inisiatif Makmur Pahang 2026 yang mewakili rasmi YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail di HOSHKA, di sini hari ini.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan sebanyak RM1.5 juta bagi memastikan lebih ramai warga emas mendapat akses rawatan berkualiti tanpa terbeban dengan kos pembedahan yang tinggi.

Katanya, program tersebut memberi impak besar kepada rakyat terutama warga emas yang mengalami masalah penglihatan akibat katarak.
“Program ini sangat baik untuk membantu rakyat. Apabila YAB. Menteri Besar sendiri menyantuni pesakit dan melihat mereka kembali tersenyum selepas menerima rawatan, itu menunjukkan keberkesanan inisiatif ini.
“Daripada sebelum ini penglihatan terbatas, kini mereka kembali dapat melihat dengan lebih jelas. Itu yang kita mahukan.
“Insya-Allah, sekiranya sasaran tahun ini berjaya dicapai, tidak mustahil program ini akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang,” katanya. -PAHANGMEDIA

